Sinar Harian
SUNGAI PETANI - "Arwah tanya, kalau adik tak ada, adik nak mati kat mana...dalam bilik atau di mana?"Demikian pertanyaan yang masih terngiang-ngiang di telinga kakak sulung, Anis Amira Zamri, 25, yang keluar dari mulut adik bongsunya, Muhammad Ammar Zamri, 7, sebelum meninggal dunia.Anis bagaimanapun berkata, soalan tersebut hanya dibiarkan tanpa jawapan selain meminta arwah untuk tidak terlalu memikirkan tentang perkara tersebut."Selepas kemalangan, saya ingat balik. Dia pernah tanya soalan macam kepada kat saya sebelum ini," jelasnya sebak.Dalam kejadian di Kampung Kubang Jambu, Kota Kuala Muda kira-kira jam 9.23 malam pada Selasa, Muhammad Ammar dipercayai dilanggar sebuah kenderaan yang datang dari arah Kota Kuala Muda ke Pulau Sayak.Akibat perlanggaran, mangsa cedera dan dibawa ke Klinik Kesihatan Kota Kuala Muda namun disahkan meninggal dunia.Sementara itu, ibu saudara mereka, Rohayu Mt Yusoff, 51, berkata, semasa kejadian mangsa bersama kakak berusia 11 tahun dan ibu mereka berada di kedai nasi kerabu miliknya.Katanya, ketika itu dia sedang berkemas di kedai berkenaan."Sebelum kemalangan dia datang kedai minta air nak minum. Sambil-sambil tu dia bergurau dengan kakaknya. Dia tak melintas jalan pun tiba-tiba ada sebuah kenderaan dipandu laju lalu terlanggar Muhammad Ammar yang berada di tepi jalan. Arwah terseret jauh dan melambung atas kereta."Kejadian berlaku depan mata, mak dia pun ada masa tu. Kami semua jerit panggil dia dan kakak dia hanya sempat tarik baju. Mak arwah yang terkejut terus pengsan," jelasnya.Susulan itu, mayat Allahyarham telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk proses bedah siasat pada Rabu.Jenazah Muhammad Ammar kemudiannya dimandi dan dikafankan di HSAH sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kota Raja, Kota Kuala Muda lepas solat Zuhur.Sebelum ini, media melaporkan seorang kanak-kanak tujuh tahun maut dilanggar sebuah kereta dalam kejadian di Kota Kuala Muda pada Selasa.
Go to News Site