Sinar Harian
JOHOR BAHRU - Seorang lagi suspek warga asing yang dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan seorang lelaki di kawasan Southkey di sini pada 14 Mac lalu ditahan di Singapura, pagi Rabu.Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, permohonan reman suspek lelaki berusia 30 tahun itu akan dibuat di Mahkamah Majistret di sini pada pagi Khamis."Kita mendapat kerjasama yang kukuh daripada negara jiran kita untuk buat tangkapan-tangkapan yang ada."Motif pembunuhan bagaimanapun masih dalam siasatan," katanya ketika mengulas perkembangan kes berkenaan.Sebelum itu, Chuan Huat hadir pada Majlis Perhimpunan Sempena Hari Peringatan Polis ke-219 peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Rabu.Dalam perkembangan sama, beliau berkata, tempoh reman suspek pertama yang berakhir Selasa lalu telah dilanjutkan sehingga 31 Mac ini.Katanya, pihak polis juga akan memohon lanjutan reman terhadap empat lagi suspek termasuk seorang wanita yang tamat tempoh tahanan esok bagi membantu siasatan.Sebelum ini, media melaporkan penahanan lima suspek yang dipercayai melarikan diri ke Singapura selepas diburu polis berhubung kes pembunuhan itu.Suspek pertama ditahan pada jam 12.15 tengah malam, 18 Mac lalu ketika cuba melepasi pemeriksaan imigresen ke republik berkenaan.Susulan itu, pada jam 6 petang keesokan harinya, empat lagi suspek berjaya ditahan dengan bantuan pihak berkuasa Singapura selepas dipercayai melarikan diri ke negara tersebut.Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa warga asing berusia 32 tahun dilaporkan maut selepas diserang sekumpulan individu menggunakan senjata tajam, termasuk ditikam di bahagian leher.Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Go to News Site