Sinar Harian
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa supaya segera menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan Victor Chin mengenai pemberian RM9.5 juta kepada seorang Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi menyelesaikan skandal 'mafia korporat'.Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, siasatan perlu dijalankan secara bebas dan telus tanpa berselindung bagi memastikan kebenaran ditegakkan tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak atau individu.Pada masa sama, beliau meminta kerajaan, terutama kepimpinan PKR, supaya memberikan penjelasan segera kepada rakyat, selain bekerjasama penuh dalam siasatan yang dijalankan."Kegagalan menangani dakwaan ini secara terbuka dan berintegriti hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah serta salah guna kuasa."PN juga mendesak supaya identiti individu terlibat hanya ditentukan melalui proses siasatan yang sah bagi menghindari spekulasi yang boleh menjejaskan reputasi mana-mana pihak yang tidak bersalah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Takiyuddin berkata, dakwaan ahli perniagaan berkenaan dilihat membimbangkan berikutan ia melibatkan jumlah wang yang besar, sekali gus menimbulkan persoalan serius berkaitan tadbir urus korporat, penyalahgunaan pengaruh politik serta integriti institusi negara."Lebih membimbangkan, menurut dakwaan tersebut, wang berkenaan diberikan untuk tujuan mendapatkan campur tangan politik dalam urusan korporat."Sekiranya benar, ia merupakan pelanggaran serius terhadap prinsip tadbir urus yang baik dan integriti yang selama ini dilaungkan oleh kerajaan," katanya lagi.Tambah beliau, perkara itu juga berpotensi mencetuskan persepsi bahawa pengaruh politik digunakan untuk campur tangan dalam urusan korporat serta proses penguatkuasaan undang-undang.Menurut Takiyuddin, pihaknya akan terus memantau perkembangan kes tersebut dan tidak akan teragak-agak untuk membawanya ke persidangan Parlimen."Perkara itu adalah bagi memastikan prinsip akauntabiliti dan integriti dalam pentadbiran negara dipertahankan."Integriti bukan sekadar slogan dan kata-kata muluk pemanis bicara, tetapi lebih daripada itu, ia menuntut pembuktian melalui ketelusan serta akauntabiliti yang konsisten dan berani," tegas beliau.
Go to News Site