Anak muda usah putus asa hadapi ujian - Mufti
Sinar Harian

Anak muda usah putus asa hadapi ujian - Mufti

SHAH ALAM – Golongan muda diingatkan supaya tidak mudah berputus asa hanya kerana dinilai berdasarkan masa silam, sebaliknya perlu menjadikan keredaan ALLAH sebagai matlamat utama dalam kehidupan.Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, isu tular melibatkan seorang anak muda yang berasa tertekan akibat kecaman masyarakat mencerminkan krisis lebih besar iaitu makna hidup dan ketahanan jiwa.Menurutnya, dalam dunia yang dipengaruhi penilaian luaran dan tekanan media sosial, ramai anak muda hilang arah apabila kebaikan dilakukan tidak dihargai, malah dibalas kecaman."Islam telah meletakkan asas jelas bahawa kehidupan manusia bukan sia-sia, sebaliknya mempunyai tujuan besar iaitu untuk beribadah kepada ALLAH."Dalam erti kata luas, termasuk memperbaiki diri, melakukan kebaikan dan mendekatkan diri kepada ALLAH."Apabila tujuan ini difahami, maka penilaian manusia tidak lagi menjadi ukuran sebaliknya keredaan ALLAH menjadi matlamat tertinggi," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.Dalam pada itu beliau menjelaskan, kehidupan di dunia merupakan medan ujian yang datang dalam pelbagai bentuk termasuk tekanan emosi, kegagalan dan pandangan negatif manusia.Malah ujarnya, setiap ujian yang dilalui sebenarnya menjadi proses penilaian terhadap kedudukan seseorang di sisi ALLAH."Bagi orang beriman, mereka mempunyai kekuatan dalaman hasil keyakinan kepada ALLAH dan kesedaran bahawa ganjaran sebenar bukan di dunia."Kekuatan sabar inilah yang membolehkan seseorang bertahan meskipun berdepan tekanan dan hinaan," ujarnya.Sementara itu Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil menasihatkan golongan muda yang berdepan tekanan hidup untuk terus berikhtiar dan bersabar menghadapi ujian.Beliau berkata, setiap tekanan yang dihadapi mempunyai pengakhiran dan tidak berlaku selama-lamanya."Yakinlah setiap tekanan itu pasti ada kesudahannya, setiap kegelapan pasti ada fajarnya."Kita dicipta untuk diuji sama ada dengan kebaikan atau keburukan, justeru teruskan berikhtiar dan jangan berputus asa," ujarnya.Dalam masa sama beliau mengingatkan supaya mendapatkan sokongan daripada individu positif bagi membantu menyelesaikan masalah dihadapi.Malah menurutnya, setiap kesusahan memerlukan masa untuk diselesaikan dan tidak berlaku secara serta-merta."Kalau patah kaki, kita rawat dan simen, tetapi untuk sembuh bukan esok. Ia perlukan masa."Begitu juga dengan masalah kehidupan, ia satu perjalanan yang memerlukan kesabaran. Kita perlu belajar melalui tempoh penungguan itu," jelasnya.

Go to News Site