Lapan lelaki ditahan reman bantu kes cedera polis
Sinar Harian

Lapan lelaki ditahan reman bantu kes cedera polis

GEORGE TOWN – Lapan lelaki ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kejadian menghalang penjawat awam menjalankan tugas sehingga mencederakan anggota polis dalam satu insiden di sebuah flat di Jalan Sungai, di sini, malam Rabu.Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.50 malam apabila pusat kawalan daerah menerima permintaan bantuan daripada anggota polis yang berdepan kesukaran ketika menjalankan tugas penguatkuasaan.Menurutnya, sepasukan anggota yang tiba di lokasi mendapati empat anggota polis sedang mengejar seorang individu mencurigakan yang melarikan diri ke arah flat berkenaan sebelum tercetus perselisihan faham dengan beberapa orang awam."Dalam kejadian itu, tiga daripada empat anggota polis terbabit mengalami kecederaan ringan akibat pergelutan yang berlaku," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh serta Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah atau ugutan bagi menghalang penjawat awam menjalankan tugas.Tambahnya, seramai lapan lelaki warga tempatan berusia antara 28 hingga 38 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan."Kesemua suspek telah direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 28 Mac ini bagi tujuan siasatan lanjut," ujarnya.Dalam pada itu, Abdul Rozak menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan video kejadian atau membuat sebarang spekulasi di media sosial yang boleh menimbulkan kegusaran awam serta menjejaskan siasatan pihak polis.

Go to News Site