Sinar Harian
KUALA LUMPUR – Seramai 21 individu termasuk seorang wanita ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan curi kenderaan menerusi Op Lejang Khas 1/26 di sekitar Wangsa Maju sejak Januari lalu.Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Senior Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, kesemua suspek warga tempatan yang ditahan itu berusia 33 hingga 50 tahun."Mereka dipercayai terlibat dengan kumpulan aktif curi kenderaan iaitu Kumpulan Prakash, Kumpulan Ican, Kumpulan Kobis dan Kumpulan Botak Kuang."Dalam tempoh operasi itu, kita berjaya merampas sebanyak 24 kenderaan pelbagai jenis yang dilaporkan hilang," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di sini pada Khamis.Mohamad Lazim berkata, hasil risikan mendapati kumpulan penjenayah itu menyasarkan motosikal yang diparkir di kawasan 'hotspot' seperti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) serta pusat perniagaan di Setapak dan Wangsa Maju."Kebanyakan kes berlaku akibat kecuaian pemilik yang meninggalkan kunci pada motosikal atau meletakkan kenderaan di lokasi sunyi tanpa ciri keselamatan tambahan," katanya.Beliau berkata, kumpulan terbabit turut menggunakan nombor pendaftaran palsu bagi mengaburi pihak berkuasa sebelum membawa keluar motosikal curi ke daerah lain seperti Gombak dan kawasan luar Lembah Klang."Modus operandi mereka bukan sahaja menjual sebuah motosikal, malah ada yang meleraikan kenderaan dan menjual alat ganti secara berasingan."Penjualan ini dikesan berlaku melalui platform dalam talian seperti Facebook selain urusan secara terus dengan pembeli," katanya.Tambahnya, siasatan juga mendapati kegiatan tersebut dijalankan secara berkumpulan dengan setiap ahli memainkan peranan tertentu termasuk mencuri, menyimpan dan melupuskan motosikal."Motosikal jenis popular seperti Yamaha LC 125 menjadi sasaran utama kerana permintaan tinggi di pasaran," ujarnya.Menurutnya, operasi yang dijalankan dari 1 Januari hingga 20 Mac itu adalah hasil risikan selama tiga bulan oleh Bahagian D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Wangsa Maju dengan kerjasama semua balai di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkenaan."Kesemua suspek telah ditahan dan direman antara satu hingga empat hari bagi membantu siasatan."Daripada jumlah itu, lima kenderaan telah diserahkan semula kepada pemilik asal, manakala selebihnya diserahkan kepada beberapa IPD lain untuk tindakan lanjut," katanya.Mohamad Lazim berkata, pihak polis turut menjalankan pemeriksaan menyeluruh melibatkan 4,109 individu, 3,157 kenderaan serta 10 premis bengkel bagi memperkukuh usaha penguatkuasaan dan pencegahan jenayah."Hasil siasatan mendapati terdapat kenderaan yang dirampas menggunakan nombor pendaftaran palsu serta melibatkan kenderaan yang dilaporkan hilang di beberapa daerah lain," ujarnya.Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dengan tidak meninggalkan kunci pada motosikal."Pemilik motosikal juga dinasihatkan menggunakan kunci tambahan serta meletakkan kenderaan di kawasan yang mempunyai pencahayaan dan sistem kamera litar tertutup (CCTV)," katanya.Beliau berkata, setakat ini seramai lima orang telah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 379A, Seksyen 379 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan."Kita meneruskan operasi seumpama itu dari semasa ke semasa bagi membanteras jenayah curi kenderaan," katanya.
Go to News Site