Sinar Harian
SEREMBAN – Kerajaan digesa mempertimbangkan pemberian subsidi diesel kepada lebih 3,000 pengusaha bas persiaran dan bas sewa khas (catar) di seluruh negara susulan kenaikan mendadak harga bahan api.Pemangku Presiden Persatuan Bas Persiaran Malaysia merangkap Presiden Bas Catar Malaysia, Mohd Rofik Mohd Yusof berkata, tidak mustahil ramai pengusaha berdepan risiko gulung tikar sekiranya tiada sebarang tindakan diambil."Kita faham kenaikan harga diesel ini berlaku di seluruh dunia dan apa yang lebih membimbangkan, harganya mungkin akan terus meningkat."Justeru, kita serahkan kepada kebijaksanaan kerajaan untuk mencari penyelesaian terbaik bagi membolehkan pengusaha terus bertahan dan beroperasi, termasuk mempertimbangkan pemberian subsidi," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.Menurutnya, pengusaha sememangnya boleh menaikkan harga sewaan mengikut harga semasa diesel, namun bimbang tempahan yang diterima sejak Disember lalu dibatalkan pelanggan.Jelasnya, situasi itu mewujudkan dilema kepada pengusaha kerana mereka terpaksa meneruskan operasi pada kadar lama walaupun kos semasa telah meningkat."Contohnya, jika sebelum ini caj sekitar RM2,000 bagi satu perjalanan, mustahil untuk dinaikkan kepada RM3,000 secara mendadak disebabkan kenaikan kos diesel."Malah, saya difahamkan terdapat tempahan yang telah dibatalkan pelanggan dan bayangkan jika kenaikan diesel ini berterusan, bagaimana nasib kami," katanya.Tambah Mohd Rofik, kenaikan harga diesel turut memberi kesan berganda apabila kos lain seperti alat ganti dan tayar kenderaan dijangka meningkat.Beliau berkata, pihaknya memahami cabaran kerajaan dalam menangani isu kenaikan harga minyak global, namun berharap satu penyelesaian menang-menang dapat dicapai demi kelangsungan industri."Harapan kami agar kerajaan memberi perhatian kepada sektor pengangkutan awam seperti bas persiaran dan bas carta kerana peranannya amat penting dalam ekosistem pelancongan negara."Kami juga akan menghantar memorandum kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi memastikan isu yang dihadapi pengusaha ketika ini dapat ditangani segera," katanya.
Go to News Site