Sinar Harian
BIDUANTA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin terus mengukuhkan legasinya apabila dipilih sebagai wakil kempen Spotify EQUAL Malaysia dan Singapura bagi bulan Mac 2026, menandakan penyertaannya buat kali kedua dalam inisiatif berprestij itu.Menurut kenyataan bersama Universal Music Malaysia dan SN Legacy, pengiktirafan itu bukan sahaja mencerminkan pencapaian luar biasa artis nombor satu tersebut dalam industri muzik, malah mengangkat suara wanita di rantau Asia Tenggara ke pentas lebih luas.Mengulas pencapaian itu, Siti Nurhaliza meluahkan rasa syukur atas penghormatan diterima dan menyifatkannya sebagai satu pengiktirafan besar dalam perjalanan seninya yang telah menjangkau lebih tiga dekad, selain mencerminkan sokongan berterusan peminat terhadap karya-karyanya.Pemilihan itu turut menyaksikan wajah beliau ditampilkan di layar digital gergasi Times Square New York, Amerika Syarikat, sekali gus memperkukuh pengaruhnya di peringkat antarabangsa."Alhamdulillah, saya ingin memanjatkan kesyukuran kepada ALLAH SWT atas rezeki ini. Terpilih sebagai wakil Spotify EQUAL Malaysia dan Singapura merupakan satu penghormatan yang sangat besar buat saya," katanya dalam kenyataan itu.Beliau berkata, pengiktirafan itu membuktikan muzik tidak mengenal batas usia ataupun tempoh masa, selain karya berkualiti kekal relevan dan dihargai di platform penstriman global dalam era digital yang pesat berkembang.Pelantun lagu Cindai itu menyifatkan pencapaian berkenaan sebagai representasi kepada semua anak seni wanita di rantau ini serta membawa mesej bahawa suara wanita mampu menyatukan peminat di Malaysia, Singapura dan seluruh dunia.Dalam pada itu, mengulas perkembangan industri, beliau menasihati penyanyi wanita muda supaya mengutamakan kualiti berbanding populariti serta membina identiti seni yang unik dan konsisten."Jangan hanya mengejar viral, tetapi kejarlah kualiti. Identiti yang kuat dan disiplin dalam menjaga vokal akan memastikan anda kekal relevan merentas zaman," katanya, menambah artis perlu menyesuaikan diri dengan teknologi, kekal positif dan berdaya tahan, selain menegaskan peminat merupakan tunjang utama dalam perjalanan kerjaya seseorang artis serta wajar dihargai.Pemilihan Siti Nurhaliza sebagai wakil Spotify EQUAL Malaysia dan Singapura sekali lagi membuktikan pengaruh serta kerelevanannya sebagai ikon muzik serantau, selain menjadi inspirasi kepada generasi baharu untuk terus berkarya.Sebelum ini media melaporkan kemunculan wajah Siti Nurhaliza di lokasi sama, mewakili kempen Spotify EQUAL pada Mei 2022. - Bernama
Go to News Site