Pemandu kenderaan asing beli RON95 berdepan tindakan undang-undang mulai Rabu depan
Sinar Harian

Pemandu kenderaan asing beli RON95 berdepan tindakan undang-undang mulai Rabu depan

PUTRAJAYA - Pemandu kenderaan berpendaftaran asing yang membeli petrol RON95 bakal berdepan tindakan undang-undang apabila larangan pembelian dan penjualan bahan bakar itu diperluaskan dan berkuat kuasa mulai Rabu depan.Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya sedang memuktamadkan persiapan akhir penguatkuasaan peluasan larangan pembelian dan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing.Menurutnya, peluasan tersebut merupakan pengukuhan kepada kerangka perundangan sedia ada yang sebelum ini hanya meletakkan kesalahan kepada pengusaha stesen minyak."Berkuat kuasa 1 April 2026, kesalahan ini akan turut mencakupi pemandu atau pemilik kenderaan yang berpendaftaran asing," katanya pada Khamis.Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Bahagian Penguat Kuasa KPDN bagi memuktamadkan persiapan akhir pelaksanaan dasar berkenaan.Mengulas lanjut, Armizan menjelaskan, penguatkuasaan tersebut susulan daripada keputusan yang telah dibentangkan di Parlimen pada 29 Januari lalu.Dalam masa sama, beliau berkata, agenda penguatkuasaan akan terus diperkasa melalui pelaksanaan OPS Tiris 4.0 (Bersepadu) bagi memastikan pematuhan peraturan tersebut seiring dengan peningkatan risiko ketirisan penyeludupan bahan api di kawasan sempadan susulan ketegangan konflik Asia Barat."Saya mengingatkan agar semua pihak sama ada pengusaha stesen minyak mahupun pengguna kenderaan motor asing mematuhi larangan ini."KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu, sindiket mahupun pengusaha yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan atau penyelewengan subsidi bahan api."Kegagalan mematuhi peraturan ini akan dikenakan tindakan tegas di bawah undang-undang yang berkuat kuasa," tegas beliau.Armizan turut menyeru orang ramai untuk terus bersama-sama menjadi mata dan telinga kepada kerajaan dengan menyalurkan aduan dan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan melibatkan jenayah penyeludupan bahan api subsidi."Insya-ALLAH, dengan kerjasama semua pihak sejajar agenda KITA GEMPUR, kita akan terus memastikan kepentingan rakyat dilindungi & ketirisan dibanteras demi manfaat bersama," katanya.

Go to News Site