Sinar Harian
MELAKA - Seorang penghantar makanan yang videonya tular kerana membelasah dan melanggar kepala isterinya sedang hamil dengan motosikal dalam kejadian dua minggu lalu dipenjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Khamis.Tertuduh, Muhammad Aidil Azahar Rahmat, 22, mengaku bersalah atas pertuduhan itu sejurus kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya yang berusia 20 tahun dengan cara menumbuk belakang kepala mangsa.Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati menyebabkan kecederaan terhadap mangsa sama dengan cara menampar muka, memukul kepala dan menolak isterinya sehingga jatuh.Perbuatan itu dilakukan antara jam 3.59 pagi hingga 4.06 pagi pada 15 Mac lalu ketika berada di dalam dan di kaki lima sebuah premis pusat karaoke di Kompleks Perniagaan Kota Syahbandar, Melaka Tengah.Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya.Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman rendah dengan alasan telah menginsafi perbuatannya dan ibunya kini mengalami strok.Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani, memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira mangsa merupakan isteri tertuduh yang sepatutnya dilindungi.Mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara empat bulan bagi setiap pertuduhan bermula dari tarikh tangkapan pada 19 Mac lalu dan berjalan serentak.Mengikut fakta kes, ibu mangsa tampil membuat laporan polis selepas gagal menghubungi anak perempuannya yang keluar rumah bersama bayi lelakinya berusia setahun dua bulan.Ibu mangsa kemudian memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis pusat karaoke berkenaan yang memaparkan tindakan suspek memukul, menampar, menarik rambut serta melanggar kepala mangsa yang sedang terbaring dengan motosikal.Suspek kemudian berjaya ditahan empat hari selepas kejadian.
Go to News Site