Sinar Harian
SHAH ALAM - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan trafik ketara 2 juta hingga 2.3 juta kenderaan sehari menggunakan rangkaian lebuh rayanya sepanjang tempoh hari puncak antara 27 hingga 29 Mac ini.PLUS memaklumkan, peningkatan trafik tersebut susulan pergerakan orang ramai pulang ke Lembah Klang selepas bercuti sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.Menurutnya, peningkatan berkenaan melibatkan perjalanan jarak jauh serta pergerakan antara bandar utama menuju ke Lembah Klang."Sehubungan itu, pengguna lebuh raya digalakkan merancang perjalanan lebih awal dengan menggunakan MyPLUS-TTA bagi memastikan perjalanan lebih lancar."Pengguna dinasihatkan supaya mengikuti jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA yang boleh diakses menerusi aplikasi PLUS serta merancang waktu perjalanan mengikut cadangan bagi membantu melancarkan aliran trafik di lokasi tumpuan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Dalam perkembangan sama, PLUS turut mengaktifkan laluan Smart Lane di 34 lokasi terpilih selain menugaskan anggota PLUSRonda menjalankan rondaan 24 jam sehari bagi membantu pengguna lebuh raya.Selain itu, PLUS memaklumkan, kemudahan di semua kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta hentian sebelah dipertingkatkan bagi menampung jumlah pengguna yang tinggi sepanjang tempoh berkenaan."Pengguna juga diingatkan memastikan baki kad Touch ‘n Go dan eWallet mencukupi sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan kesulitan di plaza tol," ujar kenyataan itu lagi.Maklumat trafik semasa boleh diperoleh melalui aplikasi PLUS, akaun X @plustrafik, @lpt2trafik, paparan mesej elektronik (VMS) di lebuh raya serta siaran radio tempatan.
Go to News Site