Wanita disamun pagi Syawal
Sinar Harian

Wanita disamun pagi Syawal

KOTA KINABALU - Sambutan 1 Syawal yang sepatutnya diraikan dengan penuh kegembiraan bertukar detik hitam bagi seorang wanita apabila menjadi mangsa samun dalam kejadian di sebuah rumah di Batu 7 di sini awal pagi Sabtu lalu.Dalam kejadian tersebut, mangsa diserang oleh seorang lelaki tidak dikenali yang menceroboh masuk ke dalam rumah melalui tingkap.Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintenden K Ramasamy berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut sekitar jam 1.30 pagi pada hari sama."Pada 21 Mac 2026 sekitar jam 1.30 pagi, Polis Daerah Sandakan telah menerima laporan berhubung satu kejadian samun yang berlaku di sebuah rumah di kawasan Batu 7 Daerah Sandakan."Dalam kejadian tersebut, seorang wanita tempatan telah diserang oleh seorang lelaki tidak dikenali yang menceroboh masuk ke dalam rumah melalui tingkap. "Suspek bertindak menyamun mangsa sebelum melarikan diri bersama beberapa barangan berharga termasuk telefon bimbit dan barang kemas dengan anggaran kerugian sekitar RM20,000," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Menurutnya, bertindak atas maklumat dan siasatan lanjut, pihak polis telah menjalankan operasi mengesan suspek sebelum berjaya membuat tangkapan dalam tempoh beberapa hari."Bertindak atas maklumat dan siasatan lanjut, pihak polis telah menjalankan operasi mengesan dan berjaya menahan tiga suspek termasuk seorang penjaga premis pajak gadai di sekitar daerah ini pada Selasa dan Rabu. "Suspek utama merupakan seorang warga asing yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah."Hasil soal siasat terhadap suspek utama telah membawa kepada tangkapan dua lagi suspek serta penemuan barang kes termasuk telefon bimbit, barang kemas dan pakaian yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes," katanya.Beliau berkata, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Go to News Site