Sinar Harian
SHAH ALAM – Keupayaan kerajaan mengimbangi usaha melindungi kebajikan rakyat dalam negara dengan pendirian tegas memperjuangkan keamanan di peringkat antarabangsa mencerminkan kematangan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.Pengarah Jabatan Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Dr Sathia Prakash berkata, pendekatan Kerajaan Madani itu terserlah ketika negara berdepan ketidaktentuan ekonomi global susulan ketegangan geopolitik, khususnya di Asia Barat.Menurut beliau, walaupun harga minyak mentah dunia meningkat melepasi AS$100 setong, kerajaan tetap mengambil langkah proaktif dengan mengekalkan subsidi bahan api bagi melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup."Keputusan mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter melalui inisiatif BUDI95 jelas menunjukkan komitmen kerajaan untuk mengutamakan kebajikan rakyat berbanding pertimbangan fiskal jangka pendek," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.Beliau menambah, langkah meneruskan subsidi diesel di Sabah dan Sarawak turut membuktikan kepekaan kerajaan terhadap realiti setempat, memandangkan kebergantungan tinggi terhadap pengangkutan berasaskan diesel di kedua-dua negeri berkenaan."Kerajaan menanggung subsidi berjumlah berbilion ringgit bagi memastikan kos logistik dan harga makanan tidak melonjak, sekali gus menjaga kesejahteraan rakyat di Malaysia Timur," ujarnya.Dalam pada itu, Dr Sathia berkata, seruan Perdana Menteri untuk melaksanakan aturan kerja fleksibel termasuk bekerja dari rumah (WFH) juga mencerminkan pendekatan pragmatik dalam menangani peningkatan kos bahan api.Katanya, langkah tersebut dilihat mampu mengurangkan beban harian pekerja bandar yang perlu berulang-alik ke tempat kerja."Ini membuktikan kerajaan tidak sekadar bergantung kepada dasar konvensional, sebaliknya bersedia meneroka pendekatan baharu yang lebih anjal dan responsif terhadap situasi semasa," jelasnya.Mengulas peranan Malaysia di pentas antarabangsa, Ketua PKR Cabang Hulu Selangor itu berkata, pendirian tegas Anwar yang menggesa penyelesaian konflik melalui diplomasi dan dialog aman, khususnya melibatkan Iran dan krisis Asia Barat wajar dipuji.Menurutnya, pendekatan tersebut memperlihatkan Malaysia kekal konsisten sebagai negara yang menjunjung keamanan dan kestabilan global, walaupun berdepan cabaran domestik."Keupayaan mengimbangi keperluan dalam negara dan tanggungjawab antarabangsa ini mencerminkan kematangan serta kredibiliti kepimpinan negara di bawah Kerajaan Madani," katanya.Tambah beliau, rakyat kini dapat menilai perbezaan antara pendekatan politik reaktif dengan tadbir urus yang bertanggungjawab dan berteraskan prinsip ihsan, keadilan serta akauntabiliti.Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar terus menyokong dasar kerajaan yang memberi keutamaan kepada kestabilan ekonomi, kesejahteraan rakyat serta kepentingan bersama negara.
Go to News Site