Sinar Harian
SHAH ALAM - Dakwaan menggunakan wakil rakyat sebagai perantara atau ejen korporat untuk kepentingan tertentu terutama melibatkan 'mafia korporat' merupakan masalah serius dan boleh memberi ancaman kepada demokrasi negara.Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Nurhayati Nordin berkata, apabila tugasan wakil rakyat dicerobohi oleh kehendak korporat atau oligarki, ia akan menjejaskan tujuan sebenar demokrasi perwakilan yang diinginkan rakyat.Menurutnya, jika dibiarkan, ini bukan lagi rasuah konvensional."Ketika wakil rakyat itu menggunakan dirinya sebagai pengantara untuk mempengaruhi pihak lain bahkan dengan habuan pula, ia seolah legalisasi rasuah berstruktur yang membentuk satu pencerobohan sistematik kepada ruang demokrasi negara,ini sangat red flag."Dalam masa yang sama jika ada pula bayaran khas bagi sesuatu urusan dalam melaksanakan tugas rasmi sebagai wakil rakyat, ini tidak boleh dikompromi."Hadiah atau habuan untuk melancarkan urusan rasmi tidak boleh diterima, kerana ini sama sahaja seperti memperdagangkan jawatan politik," katanya kepada Sinar Harian.Menurut Nurhayati, oleh sebab itu, perkara ini mesti ditangani melalui saluran undang-undang dengan segera supaya defisit kepercayaan rakyat tidak berlarutan.'Kita perlu menghantar mesej jelas bahawa jenayah korporat tidak akan dikompromi," jelasnya.Sementara itu, Ketua Penyelidikan dan Advokasi Dasar Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center), Arief Hamizan menggesa kerajaan mengambil tindakan serius berhubung dakwaan terbabit.Katanya, kegagalan menangani hal ini secara telus akan menghakis kepercayaan rakyat terhadap keutuhan mekanisme pembanterasan rasuah."Isu ini amat membimbangkan dan kerajaan mesti mengambil serius mengenai dakwaan-dakwaan yang didedahkan."Adakah ahli-ahli Parlimen mempunyai kuasa mempengaruhi badan-badan kawal selia seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pelaksanaan siasatan terhadap dakwaan salah laku dan salah guna kuasa," katanya.Arief turut mencadangkan suatu Suruhanjaya Siasatan Diraja mesti ditubuhkan demi memastikan siasatan bebas, telus dan berkecuali dapat dilaksanakan.Jelasnya, ia termasuk dakwaan asal yang dibangkitkan dalam laporan Bloomberg mengenai penglibatan pegawai-pegawai SPRM dalam mafia korporat ini."Hal ini bukannya kali pertama berbangkitnya dakwaan penyalahgunaan kuasa SPRM misalnya dakwaan bahawa wujudnya penyiasatan dan pendakwaan terpilih," ujarnya.
Go to News Site