Sinar Harian
PUTRAJAYA – Majoriti rakyat tidak akan terkesan dengan penyelarasan subsidi RON95 apabila sekitar 90 peratus pengguna di negara ini hanya menggunakan kira-kira 100 liter bahan api itu setiap bulan.Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah penyelarasan had kelayakan Budi95 daripada 300 kepada 200 liter sebulan merupakan pendekatan seimbang bagi memastikan bantuan terus dinikmati golongan sasar tanpa menjejaskan kedudukan kewangan negara.Menurut beliau, dunia kini berdepan tekanan global yang semakin mencabar termasuk lonjakan harga minyak mentah melepasi paras AS$100 setong yang memberi kesan besar kepada banyak negara."Di Hong Kong, harga petrol mencecah sekitar RM14 seliter manakala Singapura pula, sekitar RM10 seliter. Inilah realiti yang sedang dihadapi dunia hari ini," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Beliau menegaskan, dalam keadaan tersebut, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil pendirian jelas untuk terus melindungi rakyat."Walaupun harga pasaran sebenar RON95 telah mencecah sekitar RM3.87 seliter, kerajaan mengekalkan harga subsidi pada RM1.99 seliter. Ini bukan keputusan mudah, tetapi inilah bukti kepimpinan yang berani membuat pilihan demi kesejahteraan rakyat," ujarnya.Tambah beliau, kos subsidi yang kini mencecah sekitar RM4 bilion sebulan merupakan amanah besar yang perlu diurus dengan penuh tanggungjawab oleh kerajaan.Sehubungan itu katanya, pelaksanaan had 200 liter sebulan di bawah Budi95 dilihat tidak membebankan majoriti rakyat memandangkan corak penggunaan semasa menunjukkan kebanyakan pengguna berada di bawah paras tersebut.Dalam masa sama, kerajaan turut memastikan kelangsungan golongan tertentu termasuk pemandu e-hailing apabila kuota khas sebanyak 800 liter sebulan dikekalkan.Saifuddin turut menyeru rakyat agar menggunakan subsidi secara berhemah dengan mengelakkan pembaziran serta merancang perjalanan dengan lebih baik."Bagi yang mampu, sedikit penyesuaian hari ini adalah sumbangan besar untuk memastikan lebih ramai rakyat terus dilindungi," katanya.Beliau menambah, pendekatan diambil kerajaan mencerminkan komitmen untuk menjaga kebajikan rakyat ketika negara lain berdepan tekanan harga yang memaksa beban dipindahkan kepada pengguna."Inilah kekuatan Malaysia Madani ketika negara lain terpaksa melepaskan beban kepada rakyat, Malaysia memilih untuk melindungi," jelasnya.Terdahulu, Anwar mengumumkan kerajaan akan menyelaraskan sementara kelayakan penggunaan BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April ini dalam usaha memastikan subsidi bahan api terus dinikmati majoriti rakyat.Beliau berkata, langkah itu diambil sebagai pendekatan bersasar susulan ketidaktentuan pasaran minyak global dan kesan konflik di Asia Barat terhadap bekalan serta ekonomi dunia.
Go to News Site