Penyelarasan RON95: Jangan abaikan golongan 10 peratus, itu ruang bernafas – Dr Akmal
Sinar Harian

Penyelarasan RON95: Jangan abaikan golongan 10 peratus, itu ruang bernafas – Dr Akmal

MELAKA – Kerajaan digesa tidak mengabaikan golongan 10 peratus rakyat yang terjejas susulan pelarasan kuota subsidi petrol BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan.Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata walaupun langkah itu dilihat tidak menjejaskan 90 peratus rakyat, kerajaan perlu melihat kesannya secara menyeluruh terhadap kumpulan minoriti yang terlibat.Menurutnya, keputusan tersebut tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan angka peratusan semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira realiti kehidupan sebenar rakyat."Apabila PMX memaklumkan bahawa penurunan kuota ini tidak menjejaskan 90 peratus rakyat, maka kita harus bertanya satu soalan yang lebih jujur: siapakah 10 peratus yang terpaksa terjejas kehidupannya?"Jangan kita selesa dengan angka kerana dalam politik, angka mungkin boleh menenangkan pentadbiran tetapi tidak semestinya menenangkan kehidupan rakyat," katanya menerusi hantaran di Facebook.Pada Khamis, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan kerajaan akan menyelaraskan sementara kelayakan penggunaan BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April ini dalam usaha memastikan subsidi bahan api terus dinikmati majoriti rakyat.Anwar berkata, langkah itu diambil sebagai pendekatan bersasar susulan ketidaktentuan pasaran minyak global dan kesan konflik di Asia Barat terhadap bekalan serta ekonomi dunia.Dr Akmal berkata, golongan 10 peratus tersebut bukan golongan kaya, sebaliknya ‘real people’, iaitu rakyat yang hidup dengan pilihan terhad."Mereka ini rakyat yang terpaksa tinggal di luar bandar kerana kos sewa di bandar sudah tidak munasabah, lalu berulang-alik beratus kilometer setiap hari."Mereka juga merupakan ‘weekend husband’ dan ‘weekend wife’ yang berulang-alik antara negeri demi anak dan keluarga."Mereka bekerja keras, ke hulu ke hilir mencari rezeki, bukan untuk hidup mewah tetapi sekadar untuk mencukupi," katanya.Tambah beliau, pelarasan sebanyak 100 liter itu berpotensi menyebabkan golongan berkenaan yang sebelum ini tidak mewah menjadi semakin terhimpit."100 liter itu bukan kemewahan. Itu ruang bernafas. Apabila ruang itu dipotong, jangan terkejut jika kehidupan mereka menjadi semakin sempit."Saya ingin tegaskan, ini bukan soal 90 peratus lawan 10 peratus, tetapi soal keadilan. Jika kerajaan benar-benar memahami denyut nadi rakyat, mereka akan sedar bahawa dalam situasi ini, golongan minoriti yang paling terhimpit adalah yang paling terkesan," katanya.Beliau menegaskan tidak menolak keperluan rasionalisasi subsidi oleh kerajaan, namun menekankan tindakan itu perlu disertakan dengan langkah penyelesaian yang lebih menyeluruh serta berempati.Jelas beliau, kerajaan juga perlu mempertimbangkan mekanisme khusus atau fleksibiliti bagi membantu golongan yang terjejas."Ini bukan soal majoriti atau minoriti, tetapi soal keadilan. Jangan kerana mereka kecil dalam statistik, kita terlepas pandang nasib mereka."Hakikatnya, tanpa perang pun mereka sudah berjimat. Tanpa krisis pun mereka sudah berkorban. Dalam keadaan getir seperti ini, jangan sampai dasar kerajaan sendiri menjadikan mereka semakin terjerat," katanya.

Go to News Site