Sinar Harian
ALOR SETAR – Proses bedah siasat pasangan suami isteri yang ditemui mati dalam keadaan kepala terpisah dari badan di Kampung Belau, Merbok, dilaporkan selesai pada Khamis.Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kedua-dua jenazah masih berada di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini serta belum diserahkan kepada keluarga."Jenazah pasangan suami isteri masih di hospital. Bedah siasat sudah selesai semalam tetapi belum diserahkan kepada keluarga untuk proses pengecaman DNA dan cap jari," katanya.Bagaimanapun, menurut Hanyan, jenazah anak kepada mangsa wanita sudah selesai melalui proses bedah siasat dan telah dituntut keluarga untuk dikebumikan.Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bau busuk dari sebuah rumah di Kampung Belau, Merbok membawa kepada penemuan mengejutkan mayat tiga beranak pada awal pagi Khamis.Mangsa dikenali sebagai pasangan suami isteri, Zikri Abdul Rahman, 65, dan Suraya Man, 53, serta anak lelaki kepada Suraya, Muhammad Shakir Zufayri Abdul Aziz, 29.Pasangan itu dilaporkan baharu berkahwin tiga tahun lalu.Difahamkan, kepala pasangan suami isteri didapati terpisah, manakala anggota badan mangsa wanita dipercayai dipotong untuk dilupuskan.Mayat anak mereka pula ditemui di tingkat atas rumah dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kelar pada leher.
Go to News Site