Warga emas maut, kereta terjunam dalam sungai
Sinar Harian

Warga emas maut, kereta terjunam dalam sungai

PAPAR - Seorang lelaki warga emas maut manakala dua lagi cedera selepas kenderaan yang dinaiki terbabas lalu terjunam ke dalam sungai di Kampung Langsat di sini pada awal pagi Jumaat.Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa yang juga pemandu berusia 65 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah yang dialaminya.Ketua Polis Daerah Papar Superintenden Heryan Mohd Tahir berkata, kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Proton Iswara yang terbabas sendiri."Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kenderaan yang dipandu lelaki tempatan itu telah hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh ke dalam sungai di sebelah kiri jalan."Akibat kemalangan itu, pemandu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Papar manakala dua lagi penumpang melibatkan seorang wanita berusia 63 tahun dan lelaki berusia 41 tahun cedera dan kini sedang menerima rawatan di hospital sama," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Katanya lagi, siasatan lanjut mendapati kejadian dipercayai berlaku disebabkan pemandu hilang kawalan semasa melalui laluan tersebut."Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan."Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Go to News Site