'Arwah Zikri, Suraya orang baik-baik'
Sinar Harian

'Arwah Zikri, Suraya orang baik-baik'

SUNGAI PETANI - Rakan dan jiran menyifatkan suami isteri yang dibunuh di Kampung Belau, Merbok dekat sini sebagai individu yang sangat baik, peramah serta disenangi penduduk.Hashim Abdul Aziz, 66, berkata, mangsa Zikri Abdul Rahman, 65, juga sering ke masjid untuk solat berjemaah dan kali terakhir mereka bertemu ialah pada petang Ahad lepas."Dia (Zikri) tak pernah marah orang dan kadang-kadang lepas solat, kami duduk minum dan bersembang bersama-sama di pondok depan rumahnya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.Hashim berkata, kehilangan mangsa menimbulkan tanda tanya dalam kalangan rakan, namun pada awalnya mereka beranggapan mangsa mungkin tidak sihat atau sibuk dengan sambutan hari raya."Saya telefon arwah berkali-kali semalam tapi tidak berjawab. Kami hairan kerana biasanya dia mudah dihubungi dan pakaian di ampaian juga masih ada," katanya.Hashim berkata, mereka bertambah curiga selepas mengetahui isteri arwah Suraya Man, 53, yang bekerja di sebuah sekolah juga tidak hadir bekerja sejak Selasa lepas.Keadaan itu menyebabkan mereka berasa risau dan memutuskan untuk ke rumah mangsa bagi memeriksa keadaan pasangan suami isteri itu.Setibanya di situ, Hashim berkata, mereka terhidu bau busuk dan terus melaporkan kepada polis yang kemudiannya menemukan mayat pasangan itu di dapur manakala anak lelaki Suraya daripada perkahwinan terdahulu di tingkat atas.Sementara itu, anak saudara mangsa Muhammad Khairil Afif Abdul Manaf, 25, berkata, jarang bertemu dengan anak Suraya kerana lelaki berusia 29 tahun itu lebih banyak berada dalam bilik dan jarang bergaul dengan jiran."Kali terakhir saya berjumpa dia tahun lepas sebab dia jarang keluar kerana mengalami kemurungan sejak beberapa tahun lepas," katanya.Terdahulu, polis berkata, mayat Zikri dan isterinya Suraya yang dipercayai telah meninggal dunia lebih 48 jam itu ditemukan di dapur rumah dalam keadaan berbungkus dan ditutupi dengan karpet serta pakaian.Mayat anak lelaki wanita itu pula yang dipercayai masih baharu ditemukan di tingkat atas rumah dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kelar pada leher. - Bernama

Go to News Site