Sinar Harian
BINTANG Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau lebih dikenali sebagai Jojo mendedahkan bakal menghadapi antara pertarungan terbesar dalam kariernya di gelanggang One Championship.Menurutnya, kontrak perlawanan tersebut telah pun ditandatangani dan beliau memohon seluruh rakyat Malaysia mendoakan kejayaannya dalam aksi itu nanti."Pertarungan yang akan datang ini adalah antara perlawanan yang paling besar (dalam karier)."Jadi saya ingin meminta tolong semua doakan kejayaan saya, doakan keselamatan saya. Insya-ALLAH demi negara Malaysia, sekali lagi saya akan buktikan yang Malaysia boleh," katanya menerusi satu perkongsian di media sosialnya.Dalam pada itu, Jojo turut memaklumkan beliau kini sedang dalam perjalanan ke Bangkok, Thailand bagi memulakan kem latihan intensif sebagai persediaan menghadapi lawan yang masih belum didedahkan identitinya itu."Dalam perjalanan balik ke Bangkok sebab nak masuk 'fight camp'. Kontrak sudah ditandatangani, berita mengenai perlawanan (siapa lawan) akan diumumkan tidak lama lagi."Apabila 'mindset' kita betul, apabila kita ada usaha, ada tawakal dan ada doa, semua boleh tercapai, Insya-ALLAH," katanya.Untuk rekod, Jojo kini berada pada momentum terbaik selepas melakar dua kemenangan dalam dua perlawanan terakhirnya.Beliau sebelum ini berjaya menumbangkan petarung dari Maghribi, Zakaria El Jamari pada September tahun lalu sebelum meneruskan rentak cemerlang dengan menewaskan Ye Yin Naung dari Myanmar pada Februari lalu.Sehingga kini, Jojo memegang rekod dengan catatan lapan kemenangan dan hanya tiga kekalahan.
Go to News Site