Sinar Harian
SHAH ALAM - Gesaan Senator Filipina, Robin Padilla supaya tuntutan terhadap Sabah dihidupkan semula bersandarkan kepada faktor kekayaan sumber minyak disifatkan tidak berasas dari sudut sejarah dan perundangan antarabangsa.Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menegaskan, dakwaan tersebut juga merupakan satu bentuk provokasi politik yang tidak bertanggungjawab serta berpotensi menggugat kestabilan serantau."Sabah adalah wilayah sah Malaysia yang tidak boleh dipertikaikan. Kedudukannya telah dimuktamadkan melalui proses sejarah yang sah serta pengiktirafan antarabangsa."Sebarang percubaan untuk mempersoalkan kedaulatan Sabah adalah tidak boleh diterima sama sekali dan wajib ditolak dengan tegas oleh semua pihak," kata ABIM menerusi kenyataan Naib Presidennya pada Jumaat.Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Padilla menggesa Presiden Ferdinand Marcos Jr. untuk menghidupkan semula tuntutan negara itu ke atas Sabah, wilayah kaya sumber minyak yang terletak di Pulau Borneo.Justeru, ABIM berpandangan, usaha untuk menghidupkan semula tuntutan lapuk ini adalah tindakan regresif yang mencabar prinsip kedaulatan negara serta mencabul semangat persefahaman dalam kalangan negara ASEAN.Dalam masa sama, katanya, isu berkenaan menjadi lebih membimbangkan kerana Filipina kini memegang peranan sebagai Pengerusi ASEAN.Jelasnya, walaupun kenyataan tersebut tidak mewakili pendirian rasmi kerajaan Filipina atau ASEAN, kegagalan untuk memperbetulkan naratif berkenaan boleh menjejaskan kredibiliti kepimpinan serantau.Menurut kenyataan itu, keadaan terbabit boleh menimbulkan persepsi bahawa prinsip asas ASEAN, khususnya penghormatan terhadap kedaulatan dan tidak campur tangan, sedang terhakis.ABIM turut menegaskan bahawa mengaitkan isu kedaulatan wilayah dengan kepentingan sumber seperti minyak adalah pendekatan sempit dan berbahaya."Ia membuka ruang kepada politik oportunistik yang boleh mencetuskan ketegangan geopolitik, sekali gus menggugat kestabilan yang telah lama dipupuk dalam kalangan negara serantau," ujarnya lagi.Dalam pada itu, ABIM mengingatkan bahawa sejarah membuktikan retorik seumpama itu pernah membawa kepada konflik yang mengorbankan nyawa serta mengancam keselamatan di Sabah."Oleh itu, kenyataan sedemikian tidak boleh dipandang ringan, apatah lagi apabila ia datang daripada seorang pemimpin politik yang mempunyai pengaruh dalam pembentukan sentimen awam," menurutnya.Sehubungan itu, ABIM menggesa kerajaan Malaysia mengambil pendirian lebih tegas melalui saluran diplomatik bagi mempertahankan kedaulatan negara.Pada masa sama, kerajaan Filipina selaku Pengerusi ASEAN perlu menjarakkan diri dan memperbetulkan kenyataan yang bercanggah dengan prinsip pertubuhan itu.Tegas ABIM, Sabah bukan sekadar wilayah geografi, sebaliknya lambang maruah, amanah sejarah dan kedaulatan negara yang tidak boleh dirunding atau dipolitikkan oleh mana-mana pihak luar.
Go to News Site