Collector
Jaslinda ditemui dalam keadaan sedar - Polis | Collector
Jaslinda ditemui dalam keadaan sedar - Polis
Sinar Harian

Jaslinda ditemui dalam keadaan sedar - Polis

TAPAH - Polis mengesahkan pendaki wanita yang hilang di Gunung Batu Putih, dekat sini, Jaslinda Saludin, 49, ditemui dalam keadaan sedar pada Sabtu.Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah menerima maklumat mengenai penemuan mangsa pada jam 4.55 petang melalui talian MERS 999.Menurutnya, mangsa ditemukan oleh seorang penduduk Orang Asli, Nazri Eng dari Kampung Lubuk Geharu, Pos Musoh di sini."Jaslinda ditemui dalam keadaan selamat di Kampung Lubuk Geharu sebelum dibawa ke rumah penemu untuk diberikan bantuan awal serta makanan."Pihak polis kemudiannya membuat pengesahan terhadap penemuan tersebut dan menguruskan tindakan lanjut termasuk menjalankan pemeriksaan kesihatan ke atas mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.Mohd Alwi berkata, susulan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang digerakkan sejak kehilangan mangsa dilaporkan pada 24 Mei lalu ditamatkan secara rasmi.Dalam pada itu, Mohd Alwi merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat sepanjang operasi berkenaan termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan, masyarakat Orang Asli dan orang awam.Jaslinda dilaporkan menyertai pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 individu lain dan dua malim gunung bermula jam 2 pagi, 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.Mangsa bersama seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti daripada kumpulan tersebut.Bagaimanapun, Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan seorang diri ke puncak gunung sebelum kali terakhir dilihat oleh malim gunung pada jam 7.30 pagi pada 24 Mei.

Go to News Site