Collector
Lima pesalah syariah dihukum 20 sebatan di Penjara Marang | Collector
Lima pesalah syariah dihukum 20 sebatan di Penjara Marang
Sinar Harian

Lima pesalah syariah dihukum 20 sebatan di Penjara Marang

MARANG - Seramai lima pesalah syariah terdiri daripada tiga wanita dan dua lelaki menjalani hukuman keseluruhan 20 sebatan di Mahkamah Penjara Marang di sini pada Ahad.​Kesemua pesalah terbabit dihukum sebatan bagi kategori Rotan Ringan (RR) selepas masing-masing mengaku bersalah atas pertuduhan jenayah syariah yang dihadapi sebelum ini.​Kesemua mereka tiba di Mahkamah Penjara Marang kira-kira jam 10.05 pagi sebelum pelaksanaan hukuman dilakukan jam 10.30 pagi dan selesai sepenuhnya sekitar jam 11 pagi.Sebelum menjalani hukuman, lima pesalah tersebut menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu oleh pegawai perubatan dan pemeriksaan sama dijalankan sekali lagi selepas hukuman selesai dilaksanakan.Berdasarkan pemerhatian, kesemua pesalah syariah yang kesemuanya berpakaian serba putih kelihatan tenang ketika menjalani hukuman dan tiada berlaku sebarang tindakan luar jangka atau kekasaran sepanjang prosedur terbabit.​Difahamkan, proses berkenaan dikendalikan secara tertib mengikut prosedur yang ditetapkan oleh lima tukang sebat berbeza bagi setiap pesalah sebelum disahkan oleh Pegawai Sebat.​Hukuman sebatan paling tinggi dilaksanakan ke atas seorang pesalah wanita berusia 20 tahun yang menerima sebanyak enam kali sebatan.​Sementara itu, dua lagi pesalah yang sebelum ini merupakan pasangan kekasih berusia 25 dan 23 tahun masing-masing dikenakan hukuman empat kali sebatan.​Sebelum ini, kedua-dua tertuduh memilih untuk disebat berbanding meringkuk di dalam sel penjara atas alasan tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk menjelaskan denda, selain mahu mengelakkan diri daripada dihukum penjara.​Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 Pindaan 2022 kerana melakukan perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah di dalam sebuah kereta di daerah Marang, jam 10.45 malam pada 4 Disember lalu.​Bagi satu lagi pasangan berusia 26 dan, 24 tahun masing-masing menerima hukuman tiga kali sebatan.​Pasangan yang melakukan kesalahan berulang itu didakwa mengikut Seksyen 31(a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2021 selepas ditangkap berkhalwat di sebuah rumah di Kerteh, Kemaman kira-kira jam 3.15 pagi pada 15 Januari lalu.​Mahkamah sebelum ini turut mengenakan denda RM3,000 atau penjara empat bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan selepas didapati pernah ditangkap atas kesalahan sama pada Januari 2025.​Kesemua pesalah yang terlibat dalam pelaksanaan hukuman sebat pada Ahad dijadualkan dibebaskan pada tarikh yang sama.

Go to News Site