Collector
Sindiket guna pempengaruh promosi judi Piala Dunia | Collector
Sindiket guna pempengaruh promosi judi Piala Dunia
Sinar Harian

Sindiket guna pempengaruh promosi judi Piala Dunia

KUALA LUMPUR - Sindiket perjudian haram dikesan menggunakan pempengaruh media sosial untuk mempromosikan aktiviti pertaruhan sempena demam Piala Dunia 2026.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, sindiket kini semakin aktif memanfaatkan platform digital dan media sosial bagi memperluaskan rangkaian pelanggan mereka.Menurut beliau, antara taktik yang digunakan termasuk tawaran kredit percuma, bonus pendaftaran dan janji keuntungan mudah bagi menarik orang ramai menyertai pertaruhan."Mereka turut menggunakan media sosial, aplikasi pesanan dan laman web tertentu bagi menarik pelanggan baharu," katanya pada Ahad.Beliau berkata, PDRM turut mengesan penggunaan pempengaruh media sosial untuk mempromosikan aktiviti tersebut dan tindakan tegas akan diambil kerana perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.Dalam sesetengah kes, sindiket turut menggunakan ejen atau orang tengah bagi memperkenalkan pelanggan kepada platform pertaruhan yang dikendalikan mereka.Mengulas jangkaan aktiviti sempena Piala Dunia ke-23 yang bermula 11 Jun ini, beliau berkata, polis menjangkakan peningkatan ketara pertaruhan haram khususnya melalui medium dalam talian.Katanya, kejohanan yang melibatkan 48 negara itu dijangka menjadi peluang yang dieksploitasi sindiket tempatan dan antarabangsa untuk meraih keuntungan."Seperti umum sedia maklum, peminat bola sepak seluruh dunia menantikan kejohanan Piala Dunia. Di sebalik itu, PDRM menjangkakan peningkatan aktiviti pertaruhan haram khususnya melalui platform dalam talian," katanya.Menurut beliau, trend pertaruhan haram kini menunjukkan perubahan apabila aktiviti yang sebelum ini bergantung kepada bookie fizikal beralih kepada platform digital."Unjuran data semasa menunjukkan aktiviti kali ini akan beralih hampir 90 peratus kepada platform digital yang membolehkan pertaruhan dibuat 24 jam tanpa sempadan fizikal," katanya.Beliau berkata, sindiket kini beroperasi secara lebih tertutup melalui kumpulan tertentu dalam aplikasi pesanan serta media sosial bagi mengurangkan risiko dikesan pihak berkuasa.Tambahnya, penggunaan transaksi tanpa tunai dan kaedah pembayaran elektronik juga semakin meluas bagi memudahkan urusan pertaruhan.Dalam pada itu, beliau berkata, PDRM memperhebatkan risikan, pemantauan dan penguatkuasaan melalui Op SOGA di peringkat kontinjen dan daerah bagi mengesan serta menahan individu terlibat.Katanya, PDRM turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menyekat domain dan laman web yang dikesan menjalankan aktiviti pertaruhan.Tindakan undang-undang akan diambil di bawah Akta Pertaruhan 1953, Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan tawaran keuntungan mudah kerana aktiviti tersebut boleh mengakibatkan kerugian kewangan, ketagihan perjudian dan masalah sosial.Orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesan sebarang aktiviti perjudian haram.

Go to News Site