Sinar Harian
PASIR PUTEH – Walaupun genap setahun berlalu, mangsa terselamat tragedi nahas bas yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik masih merasakan seolah-olah insiden itu baru berlaku.Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Seni tahun akhir, Abdul Wafiy Kamaruddin, 24, berkata, tarikh 9 Jun 2025 akan terus terpahat dalam ingatannya sebagai detik hitam yang bukan sahaja mengubah kehidupannya, malah meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh warga UPSI dan rakyat Malaysia.Menurutnya, apabila mengenang semula tragedi tersebut, dia sukar mempercayai bahawa sudah setahun berlalu sejak kejadian berkenaan berlaku."Saya rasa macam benda itu baru berlaku semalam, rasa macam sekejap sahaja, tahu-tahu sudah setahun."9 Jun adalah tarikh yang menjadi detik hitam kepada saya. Tragedi ini bukan sahaja tidak akan dilupakan oleh saya, tetapi juga seluruh rakyat Malaysia," katanya ketika ditemui pada Majlis Tautan Kasih dan Ukhwah UPSI Bersama Waris Insiden Gerik 2025 di Tok Aman Bali di sini, pada Sabtu.Mengimbau malam sebelum kemalangan, Abdul Wafiy berkata, suasana dalam bas ketika itu cukup meriah apabila semua pelajar teruja untuk kembali ke kampus selepas cuti Aidiladha.Katanya, gelak tawa dan perbualan mesra yang memenuhi ruang bas bertukar menjadi tragedi yang meragut nyawa rakan-rakan seperjuangannya dalam sekelip mata."Siapa yang tidak gembira hendak kembali ke kampus dan berjumpa semula dengan kawan-kawan. Malam itu memang semua sangat gembira."Tetapi malangnya takdir ALLAH SWT menentukan segalanya," katanya.Abdul Wafiy yang duduk di bahagian paling belakang sebelah kanan bas berkata, antara pengalaman paling sukar dilupakan ialah ketika beliau tersedar selepas kemalangan dan melihat ramai mangsa bergelimpangan di lokasi kejadian.Menurutnya, dia yang cedera ringan pada ketika itu berusaha membantu rakan-rakan yang berada berhampiran walaupun dirinya sendiri turut cedera."Saya lihat ramai mangsa bergelimpangan. Pada masa itu saya cuba membantu sesiapa yang berada dekat dengan saya."Keadaan ketika itu memang sangat sukar untuk digambarkan," katanya.Ujar pemuda itu, pengalaman terlibat sendiri kejadian tersebut menyebabkan dirinya berdepan trauma selama kira-kira dua hingga tiga bulan selepas kemalangan.Katanya, antara kesan yang paling dirasai ialah perasaan takut dan cemas setiap kali menaiki kenderaan."Trauma itu memang ada, apabila naik kenderaan saya rasa takut dan cemas."Tetapi Alhamdulillah, dari semasa ke semasa keadaan semakin pulih dan sekarang saya sudah boleh menaiki kenderaan seperti biasa," katanya.Menurut Abdul Wafiy, sokongan keluarga, rakan-rakan, pihak universiti dan kaunselor UPSI memainkan peranan penting dalam proses pemulihan emosinya.Katanya, dia juga bersyukur apabila melihat kebanyakan daripada 27 pelajar yang terselamat menunjukkan perkembangan positif dan semakin stabil dari segi emosi selepas setahun tragedi tersebut berlalu."Mangsa-mangsa terselamat ini terus memerlukan sokongan daripada keluarga, rakan-rakan dan pihak universiti," katanya.Dalam tragedi pada 9 Jun tahun lalu, 15 pelajar UPSI maut manakala puluhan lagi cedera apabila bas yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik ketika dalam perjalanan pulang ke kampus selepas cuti Aidiladha.
Go to News Site