Sinar Harian
ALOR SETAR – Parti Amanah Negara (Amanah) mempersoalkan pendirian UMNO Johor yang menolak kerjasama dengan DAP sedangkan kedua-dua parti itu berada dalam kerajaan yang sama di peringkat Persekutuan.Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang dilaporkan lebih rela melepaskan jawatan daripada duduk semeja dengan DAP menunjukkan masih wujud kecenderungan politik lama yang bersandarkan sentimen dan ketakutan.Mahfuz berkata, rakyat kini semakin keliru apabila pemimpin UMNO dilihat mengamalkan pendekatan berbeza antara Putrajaya dan Johor."Kalau benar begitu jijik untuk duduk semeja dengan DAP di Johor, mengapa pemimpin UMNO masih terus duduk semeja bersama pemimpin DAP dalam Kabinet Persekutuan setiap minggu."Bukankah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merupakan Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan yang turut dianggotai DAP? Bukankah Kerajaan Perpaduan hari ini dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disertai PH dan BN?" katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.Jelas Mahfuz, keadaan itu memperlihatkan percanggahan pendirian yang sukar difahami rakyat.Menurutnya, kerajaan Pusat di Putrajaya bercakap tentang kestabilan dan perpaduan namun di Johor memainkan naratif permusuhan dan ketakutan."Politik dua wajah seperti ini bukan tanda kekuatan, sebaliknya menunjukkan krisis dalaman yang masih gagal diselesaikan dalam UMNO sendiri," ujarnya.Mahfuz turut mendakwa kenyataan sedemikian mencerminkan tekanan dalaman terhadap kepimpinan UMNO untuk kembali kepada politik lama yang berasaskan sentimen sempit bagi meraih sokongan orang Melayu.Bagaimanapun, katanya, rakyat khususnya golongan muda kini lebih mementingkan isu berkaitan peluang pekerjaan, rumah mampu milik, pendidikan, pelaburan dan kos sara hidup berbanding polemik politik."Anak muda tidak lagi mahu politik yang asyik mencari musuh. Mereka mahu jawapan terhadap cabaran kehidupan yang sedang dihadapi."Johor mempunyai potensi besar sebagai hab teknologi, kecerdasan buatan (AI), logistik, ekonomi digital dan pelaburan antarabangsa. Namun negeri ini tidak akan bergerak maju jika politiknya terus terperangkap dalam propaganda lama," katanya lagi.Beliau turut menyifatkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ketika dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi dan tekanan geopolitik sebagai sesuatu yang mengecewakan.Menurutnya, ketika Kerajaan Madani berusaha memperkukuh ekonomi negara dan melindungi kebajikan rakyat, Johor sekali lagi dibawa ke medan persaingan politik.Mahfuz berkata, Amanah dan PH membawa pendekatan politik yang lebih matang, tenang serta berpandangan jauh berbanding politik berasaskan kebencian."PRN Johor kali ini bukan sekadar soal siapa paling kuat menjerit di pentas politik."Ia adalah pertarungan antara politik masa depan dengan politik lama yang masih hidup atas sentimen dan ketakutan," katanya.Pada Ahad, media melaporkan Onn Hafiz menolak kerjasama dengan DAP dan sanggup melepaskan jawatan Menteri Besar sekiranya keadaan itu berlaku selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.Menurutnya, realiti politik Johor berbeza dengan situasi di peringkat Persekutuan kerana kerjasama antara BN khususnya UMNO dan DAP tidak pernah terjalin di negeri berkenaan.
Go to News Site