Sinar Harian
PASIR PUTEH - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyalurkan kira-kira RM2 juta menerusi Tabung UPSI Berduka kepada mangsa dan waris yang terlibat dalam tragedi nahas bas di Gerik sejak insiden itu berlaku setahun lalu.Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, dana hasil sumbangan orang ramai itu diagihkan secara berperingkat kepada 42 mangsa serta waris yang terlibat sejurus selepas tragedi berkenaan berlaku.Menurutnya, sempena Majlis Tautan Kasih dan Ukhwah UPSI Bersama Waris Insiden Gerik 2025 pada Sabtu, universiti turut menyalurkan bantuan sebanyak RM5,000 kepada setiap keluarga dan pelajar yang terlibat menggunakan baki dana yang masih terdapat dalam tabung berkenaan."Sehingga hari ini kira-kira RM2 juta sudah kami agihkan kepada mangsa dan waris, kami tidak menyimpan dana yang diterima, sebaliknya terus menyalurkannya kepada penerima mengikut fasa bantuan ditetapkan."Masih terdapat kira-kira RM210,000 dalam tabung dan sebahagian daripadanya kami salurkan hari ini kepada keluarga serta pelajar yang terlibat," katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan di Tok Aman Bali di sini.Majlis yang dihadiri ahli keluarga 42 mangsa dan pelajar yang terlibat itu turut dimulakan dengan bacaan tahlil ringkas bagi mendoakan mangsa yang terkorban dalam tragedi berkenaan.Suasana bertukar hiba apabila tayangan montaj khas yang memaparkan detik-detik tragedi serta kenangan bersama mangsa dipertontonkan kepada hadirin sehingga mengundang sebak dalam kalangan waris dan warga universiti.Pada majlis sama, UPSI turut menyerahkan buku UPSI Berduka kepada waris sebagai simbolik penghargaan dan kenangan terhadap tragedi tersebut.Md Amin berkata, buku yang mengambil masa hampir 10 bulan untuk disiapkan itu menghimpunkan pengalaman mangsa yang terselamat, waris, petugas penyelamat, pemandu ambulans dan warga universiti yang terlibat secara langsung dalam pengurusan insiden berkenaan.Menurutnya, dokumentasi tersebut disusun berdasarkan tujuh fasa tindakan yang dilaksanakan UPSI bermula daripada penerimaan laporan kejadian sehingga proses penyelarasan bantuan serta tuntutan insurans kepada mangsa dan keluarga."Buku ini bukan sekadar merakamkan tragedi yang berlaku, tetapi menjadi panduan sekiranya berdepan insiden seumpama ini pada masa hadapan."Kami menemubual pelbagai pihak termasuk waris, mangsa yang terselamat, pasukan penyelamat dan petugas yang terlibat supaya pengalaman mereka dapat didokumentasikan secara menyeluruh," katanya.Beliau berkata, buku berkenaan dijangka dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam masa terdekat.Mengulas mengenai langkah penambahbaikan keselamatan pelajar susulan tragedi itu, Md Amin berkata, UPSI bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melaksanakan beberapa inisiatif termasuk tidak menggalakkan perjalanan pulang pelajar pada waktu malam.Katanya, universiti juga menambah baik prosedur sewaan bas dan menyediakan saluran pelaporan kepada pelajar berkaitan isu keselamatan pengangkutan."Kita juga memberikan lebih fleksibiliti kepada pelajar terutama ketika cuti singkat dengan pelaksanaan kuliah secara dalam talian bagi mengurangkan keperluan mereka melakukan perjalanan jauh dalam tempoh yang singkat," katanya.Dalam tragedi pada 9 Jun tahun lalu, 15 pelajar UPSI maut manakala puluhan lagi cedera apabila bas yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik, ketika dalam perjalanan pulang ke kampus selepas cuti Aidiladha.
Go to News Site