Sinar Harian
CHRISTIAN Eriksen berada dalam keadaan sedar dan sedang menjalani pemeriksaan lanjut di hospital selepas rebah sekali lagi di atas padang ketika mewakili Denmark dalam perlawanan antarabangsa menentang Ukraine, awal pagi Isnin dalam insiden yang mengimbau detik serangan jantung yang dialaminya pada Kejohanan Euro 2020 lima tahun lalu.Rakaman televisyen menunjukkan pemain tengah berusia 34 tahun itu memegang dadanya dengan kedua-dua tangan ketika situasi tanpa bola pada minit ke-65 perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Nature Energy Park, Odense.Beberapa saat kemudian, Eriksen dilihat terbaring di atas padang sambil dikelilingi pemain yang kelihatan cemas, manakala staf kejurulatihan Ukraine segera memanggil petugas perubatan untuk memasuki padang.Dalam tempoh beberapa minit selepas kejadian, Persatuan Bolasepak Denmark (DBU) memaklumkan menerusi media sosial bahawa Eriksen berada dalam keadaan sedar dan mengikut situasi semasa, berada dalam keadaan baik.Kenyataan lanjut yang dikeluarkan kira-kira 10 minit kemudian memetik doktor pasukan Denmark, Morten Boesen yang berkata Eriksen berada dalam keadaan baik dan mampu berjalan keluar dari padang tanpa bantuan."Pada pandangan saya, alat perentak jantung itu berfungsi seperti yang sepatutnya."Dia tidak sedarkan diri untuk tempoh yang singkat tetapi kembali sedar dengan cepat dan kami dapat berhubung dengannya dalam masa yang segera," kata Boesen.Menurut Boesen, Eriksen akan menjalani pemeriksaan lanjut di hospital bagi mengenal pasti punca sebenar insiden berkenaan."Kami sentiasa berhubung dengannya serta doktor di hospital. Christian berada dalam keadaan baik dan meminta saya menyampaikan salam kepada semua pemain serta memaklumkan bahawa dia tidak mengalami masalah serius," katanya.Perlawanan itu akhirnya dihentikan secara rasmi pada minit ke-79 ketika Denmark mendahului Ukraine 2-1, selepas tiada lagi aksi diteruskan susulan insiden berkenaan.Pengadil membuat keputusan itu selepas berbincang dengan kedua-dua jurulatih dan pemain.Ketika Eriksen menerima rawatan, suasana stadium pada awalnya sunyi sebelum penyokong mula melaungkan namanya sebagai tanda sokongan.Selepas perlawanan dibatalkan, pemain kedua-dua pasukan membentuk bulatan bersama jurulatih masing-masing sebelum berjalan mengelilingi padang sambil menerima tepukan daripada penonton. Beberapa pemain turut dilihat gagal menyembunyikan emosi mereka.Eriksen, antara pemain terbaik pernah dilahirkan Denmark, dipasang alat Implantable Cardioverter Defibrillator (ICD) beberapa bulan selepas mengalami serangan jantung ketika aksi pembukaan Denmark menentang Finland pada Euro 2020 di Copenhagen.Dalam insiden yang mengejutkan dunia bola sepak itu, Eriksen berjaya diselamatkan hasil tindakan pantas pasukan perubatan yang diketuai Boesen.Beliau kemudian mendedahkan bahawa dirinya "hilang dari dunia ini selama lima minit".Eriksen kembali beraksi secara profesional 259 hari selepas insiden berkenaan apabila menyertai Brentford sebelum berhijrah ke Manchester United pada 2022.Selepas tamat tempoh bersama United pada 2025, beliau menyertai kelab Jerman, Wolfsburg menerusi kontrak sehingga musim 2026-27.Wolfsburg dalam kenyataan di media sosial memaklumkan Eriksen dibawa ke Hospital Universiti Odense dan kelab itu sedang memantau perkembangan terkini pemain berkenaan."Semoga cepat sembuh, Christian," kata kelab itu.Manchester United turut mengeluarkan kenyataan dengan menyatakan pihaknya berasa lega selepas menerima perkembangan positif daripada Denmark mengenai keadaan Eriksen."Kelab mengirimkan kekuatan dan kasih sayang kepada Christian serta keluarganya sementara kami menantikan perkembangan lanjut," menurut kenyataan itu.Denmark dan Ukraine tidak berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia FIFA 2026. - end
Go to News Site