Collector
Politik Malaysia perlu berteraskan kesepakatan, bukan dominasi parti - Pemuda Amanah | Collector
Politik Malaysia perlu berteraskan kesepakatan, bukan dominasi parti - Pemuda Amanah
Sinar Harian

Politik Malaysia perlu berteraskan kesepakatan, bukan dominasi parti - Pemuda Amanah

SHAH ALAM – Kestabilan politik negara pada masa hadapan perlu dibina menerusi kesepakatan antara parti politik dan bukannya bergantung pada dominasi sesebuah parti semata-mata.Timbalan Setiausaha Pemuda Amanah Nasional, Ammar Izham berkata, landskap politik Malaysia ketika ini menuntut pendekatan baharu yang lebih matang bagi menjamin kemakmuran ekonomi, keyakinan pelabur serta kesejahteraan rakyat.Beliau berkata, gagasan Kerajaan Perpaduan yang menjadi asas pentadbiran negara ketika ini lahir daripada kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika Baginda menjawat jawatan Yang di-Pertuan Agong pada 2022 dalam usaha meredakan kemelut politik selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)."Dalam suasana politik yang terpecah dan tiada parti memperoleh majoriti mutlak, Baginda telah menggesa pembentukan sebuah kerajaan yang berasaskan kerjasama rentas parti demi kestabilan negara."Menariknya, walaupun Barisan Nasional (BN) memperoleh majoriti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada tahun 2021, kerajaan negeri tersebut tetap mengambil langkah progresif dengan menerapkan semangat Kerajaan Perpaduan dalam pentadbiran."Sebaliknya, negeri-negeri lain seperti Johor, Sabah dan Sarawak mengekalkan struktur pentadbiran sedia ada berdasarkan mandat yang diperoleh melalui pilihan raya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.Ammar berkata, selepas PRN enam negeri pada 2023, negeri-negeri yang ditadbir menerusi kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan BN turut memeterai persefahaman politik bagi mengukuhkan semangat perpaduan yang dibina di peringkat Persekutuan."Langkah ini penting kerana kestabilan tidak boleh bergantung pada hubungan peribadi antara pemimpin semata-mata, sebaliknya perlu diperkukuh melalui perjanjian, persefahaman dan komitmen institusi," ujarnya.Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa politik negara masih berdepan cabaran daripada segelintir pemimpin yang lebih mengutamakan perebutan kuasa berbanding kepentingan rakyat."Mereka cenderung mengukur kejayaan melalui jawatan dan pengaruh, sedangkan rakyat mengukur kejayaan melalui harga barang yang stabil, peluang pekerjaan yang mencukupi serta perkhidmatan awam yang berkesan," katanya.Mengulas mengenai amalan politik di negara maju, Ammar berkata, kerajaan gabungan telah lama menjadi norma di negara seperti Jerman, Belanda dan Sweden, dengan kestabilan dicapai melalui kesepakatan, rundingan serta penghormatan terhadap mandat rakyat.Justeru, beliau berkata, menjelang PRN Johor dan Negeri Sembilan akan datang, tumpuan utama perlu diberikan kepada komitmen parti-parti politik untuk menghormati mandat rakyat sehingga tamat penggal serta menolak budaya pengkhianatan politik."Rakyat perlu menyedari bahawa era parti dominan telah berakhir. Politik abad ke-21 menuntut budaya baharu yang berteraskan kesepakatan, akauntabiliti dan kematangan," jelasnya.

Go to News Site