Sinar Harian
KUALA KRAI - Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang ketika keluar menoreh getah di Kampung Lubok Simpol, Seri Rahmad di sini pada Ahad ditemukan selamat selepas hampir 24 jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan pada Isnin.Mangsa, Mazlina Abdullah, 37, ditemui pada jam 11.15 pagi oleh pasukan SAR kira-kira 500 meter dari kediamannya.Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.53 pagi sebelum sepasukan tujuh anggota digerakkan ke lokasi.Menurut beliau, mangsa dipercayai keluar ke kebun getah bersama tiga individu lain pada pagi Ahad namun gagal pulang ke rumah sehingga menimbulkan kebimbangan ahli keluarga."Anggota operasi yang tiba di lokasi pada jam 9.25 pagi mengesahkan terdapat kejadian orang hilang di kawasan kebun getah."Maklumat awal yang diterima daripada keluarga mendapati mangsa yang merupakan seorang OKU lembam tidak pulang ke rumah selepas keluar ke kebun getah sejak pagi Ahad," katanya ketika dihubungi pada Isnin.Beliau memberitahu, operasi SAR melibatkan anggota BBP Kuala Krai dengan bantuan beberapa agensi serta penduduk setempat.Ujarnya, hasil pencarian yang dijalankan, mangsa akhirnya berjaya ditemukan kira-kira 500 meter dari rumahnya."Mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan sihat sebelum dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra untuk pemeriksaan lanjut," katanya.Beliau memberitahu, operasi yang bermula pada sebelah pagi itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.30 pagi.
Go to News Site