Sinar Harian
ALOR GAJAH - Polis sedang memburu seorang lelaki yang disyaki mencuri beg milik seorang penuntut universiti ketika mangsa sedang menunaikan solat Asar di sebuah masjid di Kampung Jelatang di sini pada Sabtu.Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, kejadian berlaku sekitar jam 4.45 petang di ruang solat wanita Masjid Ar-Rasyidin.Menurutnya, mangsa berusia 19 tahun ketika itu sedang solat bersendirian dan meletakkan beg yang mengandungi dokumen serta barangan peribadi di hadapan sejadah."Ketika bangun daripada sujud, mangsa ternampak seorang lelaki tidak dikenali memakai baju-T berwarna biru dan berseluar pendek hitam berada di hadapannya sebelum bertindak mengambil beg berkenaan."Suspek kemudian melarikan diri melalui pintu belakang ruang solat tersebut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Beliau berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa pada jam 6.24 petang hari yang sama."Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan."Identiti suspek telah dikenal pasti dan polis kini sedang giat mengesan serta memburunya bagi membantu siasatan," katanya.Katanya, orang ramai dinasihat supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes tersebut dan menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu siasatan.Sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi talian 06-556 2222 di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah atau mana-mana balai polis berhampiran.
Go to News Site