Sinar Harian
MELAKA - Parti Bersama Malaysia (Bersama) menyasarkan untuk mengumumkan calon-calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menjelang awal Ogos depan selepas proses penilaian dan analisis sokongan pengundi di seluruh negara dimuktamadkan.Pemimpinnya, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, ia susulan Melaka setakat ini belum membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).Menurutnya, ketika ini parti tersebut masih dalam fasa mengenal pasti kerusi yang akan ditandingi bukan sahaja di Melaka, malah di beberapa negeri lain termasuk Johor dan Negeri Sembilan."Kita bercadang untuk mengumumkan calon-calon ini lebih awal, cuma rancangan ini terganggu sedikit sebab DUN Johor dengan Negeri Sembilan dibubarkan."Proses mengenal pasti kerusi itu sedang berjalan, dijangka menjelang awal Ogos kita sudah boleh tahu jumlah kerusi yang akan ditandingi di Melaka."Kita perlukan lebih kurang sebulan untuk menilai tahap penerimaan pengundi di seluruh negara termasuk Melaka bagi membantu menentukan kerusi yang sesuai," katanya.Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Jelajah Kancil di sebuah hotel di sini pada Ahad.Tambahnya, Bersama yang bergerak secara solo dan bersifat pelbagai kaum mempunyai kelebihan untuk bertanding di mana-mana kerusi bergantung kepada sokongan pengundi setempat.Mengulas mengenai sambutan keahlian parti di Melaka, Rafizi berkata, ia masih memberangsangkan meskipun negeri itu bersaiz kecil berbanding negeri lain seperti Selangor, Johor dan Sabah.Katanya, pengalaman berpolitik sebelum ini menunjukkan kekuatan sokongan tidak hanya bergantung kepada jumlah keahlian semata-mata, sebaliknya tahap kesungguhan penyokong di lapangan."Kalau zaman PKR (Parti Keadilan Rakyat) dulu, untuk mendapatkan kehadiran seperti program ini bukan mudah untuk orang datang terutama pada Ahad malam Isnin seperti ini."Dulu ketika berkempen di Melaka sekitar tujuh atau lapan tahun lepas, pada awalnya hanya 20 hingga 30 orang yang hadir. Ia tidak mudah. Jadi pada pandangan saya, jika sambutan seperti ini, ia memberangsangkan," katanya.Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan persiapan jentera PRN Johor kini sedang diperkukuh dengan penetapan pasukan penggerak di setiap kerusi yang bakal ditandingi.Katanya, Bersama akan menggunakan pendekatan "total silence and total surprise" dalam menentukan jumlah kerusi yang akan ditandingi sehingga tarikh penamaan calon diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).Sementara itu, beliau menegaskan Bersama kekal dengan pendirian untuk bertanding secara solo dengan model politik baharuKatanya, parti itu akan meneruskan pendekatan politik baharu tanpa tanpa terikat dengan parti lain."Pendirian itu memang kita sudah umumkan sejak hari pertama iaitu kita akan bertanding sendiri secara solo dan tidak akan berbincang dengan mana-mana pihak."Ini bukan soal parti itu atau parti ini, tetapi tujuan penubuhan Bersama ialah untuk memberi ruang yang bebas dan tidak terikat dengan pendirian politik sesiapa."Jika kita mula berbincang, maka kita perlu mengambil pendirian secara gabungan. Bila secara gabungan, setiap parti mempunyai pertimbangan masing-masing dan itu bercanggah dengan asas penubuhan Bersama."Saya harap perkara ini dapat menghentikan semua spekulasi. Kami akan bergerak solo," katanya.
Go to News Site