Sinar Harian
SHAH ALAM - Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan bertindak lebih tegas untuk mengejar termasuk mengheret peminjam yang culas dalam membayar balik hutang perniagaan mahupun pendidikan agensi itu.Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah drastik itu terpaksa diambil bagi memastikan kelangsungan bantuan dana dapat disalurkan kepada lebih ramai golongan yang memerlukan pada masa akan datang."Ada yang tergamak menuduh saya dan Mara menggadai perjuangan Melayu dan tidak berhati perut kerana sanggup mendakwa mereka di mahkamah."Tapi sebab nak tolong lebih ramai orang Melayu dan Bumiputera yang memerlukanlah, kami kena lebih tegas mengejar mereka yang culas dalam membayar balik hutang perniagaan mahupun pendidikan Mara," katanya menerusi hantaran Threads pada Isnin.Beliau dalam masa sama turut memberikan contoh dengan dana pinjaman berjumlah RM500,000 daripada peminjam boleh menampung ramai pelajar miskin melanjutkan pengajian."Cuba bayangkan dengan mendapatkan balik (dana pinjaman) RM500,000 daripada seorang peminjam, Mara boleh tanggung 15 ke 20 orang pelajar miskin dan masukkan mereka dalam bidang TVET di Institusi Pendidikan Mara."Lagipun Islam jelas meletakkan asas penting bahawa hutang wajib bayar," katanya.Pada 4 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Sungai Petani, Kedah menolak rayuan seorang wanita dan tiga penjaminnya terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membayar balik pinjaman pendidikan Mara berjumlah RM857,000.Pesuruhjaya Kehakiman Darmafikri Abu Adam berkata, beliau mendapati tiada merit dalam alasan rayuan berkenaan dan tiada sebab untuk campur tangan dalam keputusan mahkamah perbicaraan.
Go to News Site