Collector
'Kenapa semua nak salahkan UMNO?' - Mustapha | Collector
'Kenapa semua nak salahkan UMNO?' - Mustapha
Sinar Harian

'Kenapa semua nak salahkan UMNO?' - Mustapha

SEREMBAN - UMNO Negeri Sembilan mempersoalkan tindakan pelbagai pihak yang didakwa terus menyalahkan parti itu susulan krisis yang melanda negeri berkenaan sehingga membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).Setiausaha UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor berkata, tuduhan bahawa parti itu menjadi punca utama krisis tersebut tidak menggambarkan keadaan sebenar."Sejak awal lagi UMNO telah memberi peringatan bahawa krisis ini berpunca daripada kegagalan Menteri Besar mengurus dan menyelesaikan isu yang timbul secara berkesan sehingga kemuliaan dan kedudukan institusi Yang di- Pertuan Besar Negeri Sembilan serta 'co-ruler' diperdebatkan secara terbuka oleh semua."Sebelum 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO menarik sokongan pada 27 April 2026, pelbagai nasihat dan pandangan telah diberikan agar tindakan segera diambil bagi mengelakkan krisis ini menjadi semakin parah," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Bagaimanapun menurut beliau, segala peringatan tersebut tidak diendahkan, malah sepanjang tempoh krisis, tiada sebarang pertemuan rasmi atau perbincangan serius diadakan antara Menteri Besar bersama 14 ADUN UMNO bagi membincangkan usaha penyelesaian."Sehingga hari ini, tiada kenyataan rasmi yang benar-benar menjawab atau meredakan krisis tersebut. Yang ada hanyalah kenyataan politik yang terus menyalahkan UMNO," katanya.Beliau berkata, sepanjang lebih 60 tahun UMNO mentadbir Negeri Sembilan, isu berkaitan adat pernah berlaku, namun tidak sehingga menimbulkan situasi yang memalukan institusi diraja, Undang dan Adat Perpatih seperti yang berlaku sekarang.Mengulas mengenai keputusan Barisan Nasional (BN) untuk bersedia bertanding di semua 36 kerusi DUN pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang, Mustafa menegaskan ia bukanlah tindakan angkuh atau untuk mendabik dada."Keputusan itu dibuat selepas Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook sendiri mengumumkan dalam Konvensyen Pakatan Harapan (PH) bahawa PH akan bertanding di semua 36 kerusi DUN."Sebagai parti yang bertanggungjawab, UMNO juga bersedia menawarkan pilihan kepada rakyat bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku," katanya.Mustafa turut mengemukakan beberapa faktor yang menunjukkan parti berkenaan tidak wajar dipersalahkan terhadap krisis tersebut.Antaranya, dakwaan bahawa Menteri Besar disabdakan sebagai berbohong oleh Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin serta kenyataan bahawa beliau tidak lagi layak meneruskan jawatan berkenaan."Itu bukan dakwaan yang datang daripada UMNO. Tuntutan mendapatkan minit Dewan Keadilan dan Undang (DKU) juga bukan dibuat oleh UMNO, sebaliknya oleh ahli DKU sendiri sehingga mereka terpaksa menggunakan saluran mahkamah untuk mendapatkan dokumen tersebut," katanya.Menurutnya lagi, Menteri Besar sendiri sebelum ini memaklumkan bahawa pembubaran DUN hanya akan berlaku seawal Oktober 2026, namun akhirnya mengumumkan pembubaran DUN pada 5 Jun.Tambahnya, desakan awal supaya DUN dibubarkan selepas pembubaran DUN Johor juga bukan datang daripada UMNO sebaliknya daripada Anthony."UMNO tidak lari daripada tanggungjawab. UMNO mengambil pendirian berdasarkan prinsip, mempertahankan maruah institusi negeri serta memastikan kestabilan pentadbiran sentiasa menjadi keutamaan."Cukuplah menjadikan UMNO sebagai kambing hitam bagi setiap kegagalan orang lain," katanya.

Go to News Site