Collector
PM bimbang warga asing salah guna visa jejas peluang pekerjaan tempatan | Collector
PM bimbang warga asing salah guna visa jejas peluang pekerjaan tempatan
Sinar Harian

PM bimbang warga asing salah guna visa jejas peluang pekerjaan tempatan

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan kebimbangan terhadap kebanjiran warga asing yang menyalahgunakan visa pelawat dan pelajar untuk menjalankan perniagaan di negara ini.Beliau berkata, kerajaan menyedari ancaman ditimbulkan segelintir warga asing yang memasuki negara ini menggunakan visa pelawat atau pelancong, namun menjalankan aktiviti perniagaan termasuk dalam sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).Anwar berkata, keadaan itu kadangkala menjejaskan peluang pekerjaan rakyat tempatan."Banyak juga dari China yang datang dengan visa pelancong, tetapi membuka perniagaan kecil seperti membaiki kenderaan, perkhidmatan pendingin hawa, syarikat kecil dan kedai kopi," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini hari ini.Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, timbalannya Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah.Anwar berkata, terdapat warga asing menggunakan lesen dan permit milik rakyat tempatan untuk menjalankan perniagaan, selain ada mendaftarkan perniagaan secara sah tetapi mendapatkan bekalan barangan serta tenaga kerja dari negara asal mereka, sekali gus menjejaskan kepentingan penduduk tempatan.Sehubungan itu, beliau mengarahkan kementerian dan agensi berkaitan mengambil tindakan tegas serta menyeluruh bagi membanteras aktiviti perniagaan haram yang dijalankan warga asing.Beliau berkata, langkah dicadangkan perlu dilaksanakan segera dengan penglibatan kementerian dan agensi berkaitan termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), pihak berkuasa tempatan (PBT), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Bank Negara Malaysia (BNM).Perdana Menteri berkata, BNM dan MCMC perlu meneliti platform e-dagang dan aliran kewangan termasuk unsur pengubahan wang haram, manakala KPDN dan PBT perlu menyemak pematuhan perniagaan yang terlibat."LHDN dan Kastam memastikan cukai dibayar sepenuhnya (manakala) Imigresen penguatkuasaan daripada penyalahgunaan pas. Jadi ini kerjasama semua badan penguatkuasaan," katanya.Selain itu, Anwar mahu kerjasama diperkukuh dengan dewan perniagaan serta persatuan penjaja dan peniaga bagi menangani isu kebanjiran perniagaan haram yang dikendalikan warga asing."Saya tekankan ini kerana ada timbul keresahan agak meluas di seluruh negara dan saya harap tindakan berkesan itu bukan hanya penguatkuasaan satu jalur, hal-hal yang sebegini menuntut kita buat tindakan bersepadu oleh semua agensi terlibat," katanya.- Bernama

Go to News Site