Sinar Harian
GEORGE TOWN – Seorang usahawan pendidikan kerugian hampir RM400,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian yang menggunakan iklan pinjaman pantas di Facebook sebelum memperdayakannya menerusi ugutan, intimidasi dan tekanan emosi berterusan selama hampir 20 bulan.Mangsa, Bryan Teow, 50, berkata kejadian bermula pada Ogos 2024 ketika dia berdepan masalah aliran tunai susulan cabaran perundangan membabitkan syarikat yang diuruskannya di Hong Kong.Beliau yang berasal dari Tanjung Bungah mendakwa, pada mulanya mahu mendapatkan pinjaman sebanyak RM20,000 selepas tertarik dengan iklan pinjaman pantas menggunakan penjenamaan sebuah bank terkemuka yang dipaparkan di Facebook."Sebaik sahaja mengklik pautan itu, saya dihubungi seorang individu yang mendakwa sebagai pegawai bank melalui WhatsApp dan meminta beberapa dokumen."Pada mulanya memang saya menerima wang pinjaman itu, tetapi sejak awal lagi saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena kerana wang yang diterima bukan daripada akaun bank seperti yang dijangka," katanya pada sidang akhbar di Komtar di sini pada Jumaat.Bryan mendakwa, walaupun menyedari terdapat kejanggalan, dia tetap membuat pembayaran semula kerana mahu menyelesaikan perkara tersebut secepat mungkin."Saya cuba memulangkan wang itu secepat mungkin tetapi mereka kata jumlah itu tidak mencukupi."Mereka meminta saya membuat bayaran lagi dan lagi. Pada satu peringkat, mereka menyuruh saya bayar sekali gus RM100,000 dengan alasan fail akan ditutup selepas itu."Tetapi selepas beberapa bulan, mereka hubungi saya semula dan ugutan terus berlaku satu demi satu sehingga jumlah kerugian cecah hampir RM400,000," katanya.Beliau berkata, sepanjang tempoh itu, sindiket tersebut menggunakan pelbagai taktik intimidasi termasuk menghantar mesej dan membuat panggilan tanpa henti selain cuba memberi tekanan emosi kepadanya.Menurutnya, scammer itu juga mendakwa mempunyai hubungan rapat dengan agensi penguat kuasa termasuk polis selain menunjukkan dokumen yang menyerupai dokumen sulit kerajaan bagi menakutkannya."Mereka mengugut untuk mengganggu operasi syarikat saya, menghubungi keluarga, rakan sekerja dan pihak pengurusan syarikat."Mereka juga menyebarkan fitnah, mengugut mahu menyebarkan gambar saya serta melabel saya sebagai penipu."Disebabkan semua tekanan itu, saya hidup dalam ketakutan dan percaya jika saya tidak mengikut arahan mereka, keadaan akan menjadi lebih buruk," ujarnya.Bryan berkata, sepanjang hampir 20 bulan itu, dia memilih untuk berdiam diri kerana berharap masalah tersebut akan berakhir jika terus memberi kerjasama kepada sindiket."Saya fikir kalau saya ikut semua arahan, masalah ini akan selesai tetapi saya sedar akhirnya berdiam diri bukanlah penyelesaian."Apabila difikirkan semula sekarang, memang apa yang berlaku itu tidak logik tetapi ketika menjadi mangsa, kita berada dalam keadaan takut, cemas dan tertekan," katanya.Tambahnya, titik perubahan berlaku apabila beliau menyedari perkara yang perlu dilakukan bukan terus hidup dalam ketakutan, sebaliknya mendapatkan bantuan melalui saluran undang-undang.Susulan itu, beliau membuat laporan polis pada 29 Mei lalu dan melantik peguam untuk mengendalikan kes tersebut."Saya dimaklumkan polis sudah memulakan siasatan dan saya menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut."Saya tampil hari ini kerana ramai mangsa scam memilih untuk berdiam diri. Saya harap dengan berkongsi pengalaman ini, lebih ramai akan lebih berhati-hati dan segera mendapatkan bantuan jika menjadi mangsa," katanya.Sementara itu, peguam mangsa, Dixon Eng Yuh Pei berkata, pihak polis telah memulakan siasatan termasuk menghantar permohonan kepada institusi kewangan untuk mendapatkan penyata bank kerana kes tersebut dipercayai melibatkan sembilan akaun bank.Menurutnya, walaupun identiti sebenar scammer mungkin sukar dikenal pasti, siasatan terhadap akaun-akaun yang digunakan tetap penting bagi mengesan individu yang terlibat."Kita juga mahu memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya meminjamkan akaun bank kepada pihak lain untuk mendapatkan habuan kerana perkara itu boleh menyebabkan mereka berdepan implikasi undang-undang."Dalam kebanyakan kes, akaun yang digunakan untuk memindahkan wang kepada mangsa selalunya ialah akaun yang bermasalah atau akaun keldai," katanya.Tambah beliau, mangsa yang menerima wang daripada akaun mencurigakan juga boleh berdepan risiko akaun dibekukan, hubungan perbankan ditamatkan atau dikenakan tindakan undang-undang.Menurutnya, kes seumpama itu lazimnya bermula apabila mangsa menerima wang sebelum sindiket menggunakan taktik ugutan dan tekanan maksimum untuk memaksa pembayaran dibuat."Mereka akan membuat panggilan tanpa henti, menghantar mesej, menghubungi ahli keluarga, rakan sekerja malah mengganggu tempat kerja mangsa."Objektif mereka mudah, iaitu memberi tekanan maksimum dan memalukan mangsa sehingga mangsa merasakan mereka tiada pilihan selain terus membayar," katanya.Sementara itu, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, orang ramai digesa supaya segera membuat laporan polis sekiranya menyedari diri menjadi mangsa scam dan tidak menunggu terlalu lama."Biasanya siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan peruntukan lain yang berkaitan."Jika sudah klik pautan, sudah menerima wang dan mula diugut, jangan tunggu. Segera buat laporan polis dan dapatkan perlindungan sewajarnya daripada pihak berkuasa," katanya.Tambah Zairil, orang ramai yang merasakan diri mereka menjadi mangsa scam disaran segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 kerana tindakan pantas boleh membantu pihak berkuasa membekukan akaun yang terlibat sebelum wang dipindahkan ke tempat lain.Selain itu, aduan juga boleh dibuat kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), termasuk menerusi talian WhatsApp MCMC di nombor 016-220 6262.
Go to News Site