Sinar Harian
PUTRAJAYA – Tindakan segelintir nelayan mematikan Sistem Pemantauan Vesel (VMS) bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa dikenal pasti antara taktik utama yang digunakan dalam aktiviti perikanan tidak sah, tidak dilapor dan tidak dikawal selia (IUU Fishing) yang mengancam sumber perikanan negara.Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, aktiviti IUU Fishing menjadi cabaran dalam usaha pengurusan dan pemuliharaan sumber perikanan negara berikutan taktik yang digunakan semakin kompleks serta sukar dikesan."Selain mematikan VMS, pelaku turut dikesan memanipulasi data pendaratan hasil perikanan, menceroboh kawasan perikanan yang tertakluk kepada syarat dan peraturan pelesenan tertentu serta memasuki Zon A menggunakan vesel pukat tunda komersial yang menyalahi syarat lesen dan peraturan penangkapan ikan."Aktiviti IUU Fishing bukan sahaja menyebabkan kehilangan sumber perikanan negara, malah boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem marin serta sumber pendapatan komuniti nelayan yang bergantung kepada sektor ini," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Adnan berkata demikian sempena sambutan Hari Kesedaran Memerangi Aktiviti Perikanan Tidak Sah, Tidak Dilapor dan Tidak Dikawal Selia (IUU Fishing Day 2026).Beliau berkata, Jabatan Perikanan Malaysia akan terus memperkukuh penguatkuasaan Akta Perikanan 1985 [Akta 317] serta mempererat kerjasama dengan agensi penguat kuasa maritim bagi memastikan sumber perikanan negara terus dilindungi dan diurus secara mampan."Keluasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia yang hampir dua kali ganda keluasan daratan negara memerlukan pendekatan penguatkuasaan yang menyeluruh dan bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa maritim," katanya.Menurutnya, Op Naga terus menjadi platform penyelarasan utama yang menghimpunkan kekuatan 17 agensi penguatkuasaan termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam melaksanakan pemantauan serta penguatkuasaan di perairan negara."Hasil kerjasama penguatkuasaan secara bersepadu bagi tempoh 2020 hingga 2025, sebanyak 546 kes tangkapan vesel penangkapan ikan asing direkodkan oleh agensi yang terlibat."Daripada jumlah itu, Maritim Malaysia merekodkan 474 kes atau 86.8 peratus daripada keseluruhan tangkapan, diikuti PPM sebanyak 53 kes dan Jabatan Perikanan Malaysia sebanyak 19 kes," katanya.Adnan berkata, analisis trend menunjukkan jumlah tangkapan vesel penangkapan ikan asing menurun daripada 126 kes pada 2021 kepada 33 kes pada tahun lalu, iaitu pengurangan sebanyak 73.8 peratus."Penurunan tersebut membuktikan keberkesanan penguatkuasaan bersepadu yang dilaksanakan secara konsisten oleh pelbagai agensi termasuk melalui kehadiran aset di zon maritim kritikal melebihi 60 batu nautika dari pesisir pantai," katanya.Menurutnya, kehadiran berterusan aset penguat kuasa di kawasan berisiko tinggi turut meningkatkan kesan pencegahan terhadap aktiviti pencerobohan vesel asing ke perairan negara."Walaupun operasi penguatkuasaan sering berdepan cabaran termasuk keadaan laut bergelora ketika Monsun Timur Laut dengan ketinggian ombak mencecah lima meter serta tindakan agresif segelintir kru vesel asing bagi mengelakkan penahanan, agensi penguat kuasa tetap komited melaksanakan tanggungjawab masing-masing," katanya.Sehubungan itu, beliau menyeru komuniti nelayan, pemain industri perikanan dan masyarakat awam supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti perikanan yang mencurigakan."Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan sumber perikanan negara terus terpelihara dan dapat dimanfaatkan secara mampan demi kesejahteraan rakyat serta kelestarian sektor perikanan negara," ujarnya.
Go to News Site