Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) menerbitkan Standard Pelesenan dan Pendaftaran (AS) serta Standard Pelakuan (CS) yang terpakai kepada enam aktiviti perniagaan di bawah Fasa 1 pelaksanaan Akta Kredit Pengguna 2025.SKP dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan, aktiviti perniagaan yang akan berada di bawah kawal selia SKP ialah skim beli sekarang bayar kemudian (BNPL), pemfaktoran, pajakan, kutipan hutang, pemerolehan pinjaman atau pembiayaan terjejas, serta kaunseling dan pengurusan hutang."Aktiviti perniagaan berkenaan selama ini beroperasi tanpa pengawalseliaan khusus oleh mana-mana pihak berkuasa."AS memperincikan keperluan serta proses pelesenan dan pendaftaran entiti yang dikawal selia, manakala CS menetapkan set peraturan bagi memastikan amalan yang adil, bertanggungjawab dan profesional dalam industri kredit pengguna," menurut kenyataan itu.Pengerusi Eksekutif SKP, Abu Hassan Alshari Yahaya berkata, penerbitan kedua-dua standard itu merupakan asas penting dalam pelaksanaan akta dengan menetapkan keperluan yang jelas dari segi kelayakan untuk operasi serta amalan pelakuan.Menurut beliau, sebagai pihak berkuasa berwibawa, SKP komited memastikan amalan industri selaras dengan mandat untuk melindungi kepentingan pengguna, di samping menyokong pembangunan industri yang mampan.SKP akan meneruskan usaha libat urus melalui penganjuran sesi taklimat industri di peringkat wilayah atau negeri sebagai usaha memantau tahap persediaan menjelang pelaksanaan keperluan pelesenan dan pendaftaran yang akan berakhir pada hujung tahun ini.Sesi ini juga memberi peluang kepada pihak yang tidak dapat menghadiri sesi terdahulu untuk turut serta dengan membuat pendaftaran melalui laman web rasmi SKP di www.skp.gov.my.Peserta industri diberi tempoh peralihan selama enam bulan bermula 1 Jun lalu untuk melaksanakan pematuhan terhadap Standard Pelesenan dan Pendaftaran serta Standard Pelakuan.Menurut SKP, mana-mana pihak yang terus beroperasi tanpa lesen atau tidak berdaftar dianggap sebagai suatu pelanggaran undang-undang.
Go to News Site