Collector
Kebakaran Pejabat MCA Yong Peng jejas persiapan hadapi PRN Johor | Collector
Kebakaran Pejabat MCA Yong Peng jejas persiapan hadapi PRN Johor
Sinar Harian

Kebakaran Pejabat MCA Yong Peng jejas persiapan hadapi PRN Johor

BATU PAHAT - Kebakaran yang memusnahkan kira-kira 80 peratus Pejabat MCA di Yong Peng semalam bukan sahaja mengakibatkan kerugian harta benda, malah menjejaskan persiapan parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.Ketua Pemuda MCA, Ling Tian Soon berkata, pihaknya kini mempertimbangkan untuk mencari lokasi sementara bagi meneruskan operasi dan persiapan pilihan raya selepas siasatan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selesai dijalankan."Ini akan memberi kesan kepada pihak MCA kerana bangunan ini telah lama menjadi bilik gerakan parti. Mungkin kami akan mencari tempat baharu sementara untuk melakukan persiapan menjelang PRN," katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad.Tian Soon, yang juga penyandang kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng berkata, selain memusnahkan sistem siar raya (PA), pendingin hawa yang baharu dipasang, kerusi dan meja, kebakaran itu turut menyebabkan pelbagai dokumen serta peralatan yang digunakan untuk aktiviti komuniti musnah.Beliau berkata, tragedi yang menimpa bangunan berusia lebih 70 tahun itu turut dirasai masyarakat Tionghua di kawasan berkenaan yang menganggapnya sebagai mercu tanda serta pusat aktiviti komuniti setempat."Masing-masing berasa sangat sedih dan sayang kerana kehilangan satu bangunan ikonik di Yong Peng. Saya minta semua bersabar dahulu."Pihak MCA akan membuat perancangan pada masa akan datang supaya ia kekal menjadi pusat aktiviti untuk masyarakat dan keluarga di sini," katanya.Beliau berkata, bangunan berukuran kira-kira 100 kaki panjang, 70 kaki lebar dan 20 kaki tinggi itu selama ini menjadi lokasi pelbagai aktiviti komuniti termasuk mesyuarat, kelas tarian, senaman, tarian singa dan karaoke yang diadakan empat kali seminggu."Walaupun api merebak di bahagian atas, keseluruhan bahagian dalam bangunan sudah tidak boleh digunakan dan semua aktiviti terpaksa dihentikan buat sementara waktu," katanya.Bomba menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 8.28 malam sebelum pemadaman sepenuhnya selesai pada jam 9.56 malam. - Bernama

Go to News Site