Collector
Giriş Yap
Tidak adil hukum semua etnik Rohingya - ABIM | Collector
Tidak adil hukum semua etnik Rohingya - ABIM

Tidak adil hukum semua etnik Rohingya - ABIM

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menegaskan pendirian mempertahankan komuniti pelarian termasuk Rohingya, bukan bermaksud menyokong mereka secara membuta tuli, sebaliknya berasaskan prinsip kemanusiaan, keadilan, kedaulatan undang-undang dan keharmonian sosial.Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, berkata, ABIM tidak pernah menafikan kemungkinan wujud masalah dalam kalangan komuniti pelarian, namun sebarang kesalahan perlu ditangani mengikut lunas undang-undang dan bukannya melalui generalisasi terhadap keseluruhan kelompok."Kita mempertahankan mereka dari segi dasar prinsip kemanusiaan dan prinsip keadilan. Pada masa yang sama, kita juga melihat kepada isu-isu berkaitan rule of law dan juga keharmonian sosial."Apabila kita membincangkan mengenai isu Rohingya pada hari ini, ia bukan bermakna ABIM menafikan sebarang masalah yang mungkin timbul dalam kalangan komuniti pelarian itu sendiri," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.Beliau berkata, ABIM yang terlibat secara langsung di peringkat akar umbi menyokong tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melakukan jenayah, melanggar undang-undang atau mengganggu ketenteraman awam."Kita tidak pernah menyatakan bahawa kita memberikan komuniti ini imuniti atau kekebalan. Sesiapa sahaja yang melakukan kesilapan dalam konteks Malaysia sekarang, tindakan undang-undang perlu dilakukan dan dilihat dalam konteks tersebut," katanya.Namun, beliau berpandangan isu yang lebih besar ketika ini ialah kecenderungan untuk mengaitkan kesalahan segelintir individu dengan keseluruhan komuniti pelarian.Katanya, perbuatan menghukum semua pelarian atas kesalahan beberapa individu adalah tidak adil, terutama terhadap golongan rentan seperti wanita, kanak-kanak dan warga emas.Mengulas isu pelarian secara umum, Ahmad Fahmi berkata, kebimbangan utama ABIM adalah apabila wujud pihak yang cuba mengambil tindakan sendiri, selain munculnya seruan kebencian, ancaman keganasan dan proses 'dehumanisasi' terhadap kelompok pelarian."Mereka tetap manusia yang mempunyai karamah insaniah, maruah dan hak asasi sendiri yang perlu dijaga," katanya.Beliau berkata, ABIM melihat dirinya sebagai antara pemegang taruh yang perlu memainkan peranan bersama kerajaan, NGO lain, komuniti tempatan dan komuniti pelarian bagi mencari titik keseimbangan dalam menangani isu berkenaan.Menurutnya, rakyat Malaysia mempunyai hak untuk berasa bimbang terhadap isu keselamatan, ekonomi, peluang pekerjaan dan keharmonian sosial, manakala pelarian pula mempunyai hak kemanusiaan yang perlu dipertimbangkan secara adil.Dalam masa sama, beliau berkata, kerajaan sewajarnya menguruskan isu pelarian secara sistematik melalui data dan dasar yang jelas serta penguatkuasaan yang tegas."Saya melihat ada usaha di peringkat kerajaan untuk mengambil alih peranan yang sebelum ini dibuat oleh pihak UNHCR, terutamanya dari segi pengumpulan data dan rekod pelarian," katanya.Beliau turut menjelaskan bahawa tanggapan semua pelarian dari Myanmar adalah Rohingya tidak tepat kerana terdapat pelbagai etnik lain yang turut berada di Malaysia, termasuk Chin, Kachin dan Shan.Mengulas pendekatan ABIM, Ahmad Fahmi berkata, pertubuhan itu tidak pernah menganggap semua pelarian berada di pihak yang benar dan pada masa sama tidak mahu membiarkan sentimen kebencian mengatasi nilai kemanusiaan."Kita tidak mengatakan semua pelarian itu betul, dan kita juga tidak mahu menjadi seperti kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Jika ada jenayah, tangkap dan adili mengikut undang-undang," katanya.Beliau berkata, Malaysia berdepan cabaran unik kerana sebahagian pelarian yang berada di negara ini sudah melangkaui beberapa generasi dan menetap sejak berdekad-dekad lalu.Walaupun Malaysia tidak menandatangani sebarang konvensyen pelarian, negara ini mempunyai pengalaman menguruskan pelarian dari Vietnam, Kemboja, Bosnia dan Syria sebelum ini.Menurutnya, keadaan Rohingya berbeza kerana status mereka dinafikan secara langsung di negara asal sehingga tidak mempunyai kewarganegaraan, dokumen atau pengiktirafan rasmi.Justeru, beliau berkata sebarang insiden terpencil perlu ditangani mengikut kes dan bukannya dijadikan alasan untuk menyemarakkan sentimen xenofobia atau kebencian terhadap keseluruhan komuniti.Dalam pada itu, Ahmad Fahmi menekankan kepentingan pendidikan dan tarbiah kepada komuniti pelarian, khususnya generasi muda, bagi membantu mereka memahami budaya, sensitiviti dan peraturan yang perlu dipatuhi di Malaysia.Beliau berkata, pendidikan melalui sekolah pelarian serta pendekatan kepada ketua keluarga dan pemimpin komuniti boleh membantu meningkatkan kefahaman mengenai hak-hak sivil, undang-undang dan kepentingan menjaga keharmonian masyarakat.

Go to News Site