Sinar Harian
SHAH ALAM - Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil, menyarankan agar parti-parti politik Melayu memberikan laluan kepada Pas untuk menerajui jawatan Perdana Menteri sekiranya mahu mencapai agenda penyatuan ummah.Beliau menegaskan, sebagai parti terbesar di Malaysia ketika ini yang belum pernah memegang jawatan nombor satu negara itu, Pas wajar diberikan peluang berdasarkan rekod bersihnya daripada isu rasuah."Sebab itu dari dulu saya telah syorkan supaya pada kali ini beri laluan kepada Pas untuk jadi Perdana Menteri. Pas adalah parti terbesar di Malaysia kini dan mereka belum pernah jadi Perdana Menteri."Mereka juga adalah parti yang mempunyai rekod paling bersih dan paling kurang rasuah dan salah guna kuasa," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.Isham mengulas mengenai pergolakan politik Melayu mutakhir ini, termasuk perpecahan yang berlaku antara Pas dan Bersatu baru-baru ini, yang menurutnya berpunca daripada perebutan kuasa dan persoalan mengenai siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri.Mengulas lanjut, Isham berkata, impian semua parti Melayu untuk menjadi dominan hanya akan menyebabkan masing-masing berpecah dan menjadi lemah, sekali gus memberi kelebihan kepada DAP untuk menguasai pentadbiran negara secara de facto.Sehubungan itu, beliau menggesa pemimpin-pemimpin parti Melayu yang mempunyai kes mahkamah melibatkan rasuah untuk mengetepikan cita-cita peribadi demi kelangsungan penyatuan."Jika parti-parti Melayu ingin bersatupadu, pemimpin-pemimpin mereka perlu ketepikan cita-cita untuk jadi Perdana Menteri terutama jika mereka ada kes mahkamah berkenaan rasuah dan salahguna kuasa," jelasnya.Beliau turut menyentuh kedudukan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menurutnya perlu menerima hakikat sokongan pengundi akan terjejas ekoran rekod 47 kes mahkamah yang dihadapinya, serta menyarankan agar beliau mengetepikan ego demi mengelakkan UMNO terus merosot pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.Dalam perkembangan sama, Isham mengulas keputusan Bersatu di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kekal berada dalam Perikatan Nasional (PN) sebagai satu langkah yang praktikal dan bijaksana berbanding bertindak 'go solo' atau menyertai Pakatan Harapan (PH).Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa Bersatu sudah pun memegang jawatan Perdana Menteri sebanyak dua kali sebelum ini."Ia masih lebih afdal jika kali ini Bersatu beri laluan dan sokong Pas untuk jadi Perdana Menteri dan menerima parti-parti lain untuk masuk PN."Dulu Pas pernah sokong Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri walaupun Pas mempunyai lebih banyak kerusi dan lebih ramai penyokong," katanya lagi.Isham menzahirkan keyakinan bahawa kepimpinan Pas mampu meningkatkan kebarangkalian untuk membersihkan negara daripada gejala rasuah memandangkan parti-parti lain didakwanya mempunyai banyak rekod kes mahkamah serta hubung kait dengan taikun korporat.Tambah beliau, sekiranya usaha perdamaian dan penyatuan ummah ini terus ditolak oleh pihak-pihak yang tamakkan kuasa, beliau percaya Pas akan tetap istiqamah bertanding secara bersendirian demi menewaskan golongan tersebut dalam pilihan raya.
Go to News Site