Collector
Giriş Yap
Krisis adat Negeri Sembilan: Pembesar negeri mohon proses mediasi selesai kemelut berlaku | Collector
Krisis adat Negeri Sembilan: Pembesar negeri mohon proses mediasi selesai kemelut berlaku

Krisis adat Negeri Sembilan: Pembesar negeri mohon proses mediasi selesai kemelut berlaku

SEREMBAN – Mahkamah Tinggi Seremban diharap dapat mempertimbangkan permohonan untuk diadakan proses mediasi dalam kes saman pemula yang difailkan oleh pembesar Negeri Sembilan bagi mencari penyelesaian secara damai sekali gus menamatkan kemelut yang sedang berlaku.Peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili Undang Luak Jelebu berkata, permohonan tersebut telah dikemukakan pihaknya kepada mahkamah menerusi surat yang dihantar pada Isnin lalu.Menurutnya, sesi mediasi tersebut dicadangkan diadakan secepat mungkin dengan melibatkan semua pihak yang terbabit dalam kes berkenaan."Kita telah menghantar surat kepada mahkamah bagi memohon supaya kesemua pihak terlibat menjalani sesi mediasi."Ini kerana kes ini perlu diselesaikan segera kerana membiarkan kemelut ini berpanjangan tidak baik untuk negeri dan juga rakyat," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.Beliau berkata, sekiranya proses mediasi dapat dijalankan, semua pihak berpeluang untuk bersemuka dan mengadakan perbincangan secara langsung bagi mencapai kata sepakat.Menurutnya, jika mediasi itu berjaya mencapai penyelesaian, prosiding mahkamah yang dijadualkan berlangsung pada 28 Julai depan tidak lagi diperlukan."Jika pihak-pihak dapat mencapai persetujuan dalam proses mediasi itu, pastinya kes ini dapat diselesaikan dengan lebih cepat," katanya.Mengulas berkenaan kenyataan Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Azizi Mohamad Ali yang memaklumkan bahawa Tunku Datuk Seri Nadzaruddin Tuanku Jaafar tidak lagi menyandang gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan kerana tindakannya menerima gelaran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, beliau mendakwa pengumuman tersebut adalah tidak berperlembagaan.Jelasnya, berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS), sebarang keputusan untuk menarik balik anugerah atau gelaran kebesaran negeri perlu mendapat persetujuan pembesar negeri iaitu empat Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin."Setakat semalam yang saya dimaklumkan, tiada sebarang perundingan dibuat dengan pembesar negeri berhubung perkara itu."Maka, mengikut UUTKNS, pengumuman tersebut adalah tidak berperlembagaan," katanya.Pada 13 Mei lalu, media melaporkan Mahkamah Tinggi di sini mengarahkan dua defendan dalam saman pemula yang dikemukakan oleh Datuk Mubarak Dohak bersama lima yang lain untuk mengemukakan bantahan rasmi dalam tempoh tujuh hari berkaitan bidang kuasa mahkamah untuk mendengar kes tersebut.Kes itu membabitkan permohonan penggantungan pelaksanaan keputusan Mesyuarat Khas Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) bertarikh 17 April lalu.Hakim Roz Mawar Rozain mengarahkan demikian selepas mendengar bantahan awal daripada defendan pertama, Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin dan defendan kedua DKU.Kedua-dua defendan yang diwakili peguam Steven Thiru membangkitkan isu bidang kuasa Mahkamah Tinggi untuk mendengar permohonan tersebut mengikut Perkara 16(3) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.Mereka berhujah bahawa berdasarkan peruntukan tersebut, mahkamah tersebut tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan berkenaan.Sehubungan itu, pihak defendan akan memfailkan afidavit sokongan kepada mahkamah dan perkara itu akan didengar secara lisan pada 28 Julai depan.

Go to News Site