Collector
Giriş Yap
PN milik mutlak siapa? | Collector
PN milik mutlak siapa?

PN milik mutlak siapa?

KEPUTUSAN Pas memutuskan hubungan politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan sahaja mencetuskan tanda tanya mengenai masa depan kedua-dua parti, malah menimbulkan persoalan lebih besar iaitu siapa yang bakal menguasai Perikatan Nasional (PN).Bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berpandangan, perkembangan tersebut memberi kesan paling besar kepada kedudukan PN yang selama ini diterajui oleh dua parti utama berkenaan.Menurut beliau, sukar untuk Pas dan Bersatu terus berada di bawah satu payung politik yang sama selepas hubungan kedua-duanya diputuskan."PN paling terkesan kerana dua tonggak utama gabungan itu ialah Pas dan Bersatu. Tidak mungkin kedua-dua parti kekal berada dalam PN selepas hubungan politik mereka diputuskan."Pada akhirnya, sama ada Pas atau Bersatu perlu keluar atau dikeluarkan daripada gabungan itu," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.Zuhdi berkata, tumpuan kini terarah kepada mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat bagi menentukan kedudukan kedua-dua parti.Berdasarkan ­perlembagaan PN, katanya, Majlis Tertinggi mempunyai kuasa untuk menyingkirkan mana-mana parti komponen sekiranya perlu."Mesyuarat itu akan menjadi penentu masa depan PN. Sama ada Pas atau Bersatu yang tersingkir, keputusan­ itu akan menentukan siapa menguasai PN selepas ini," ujarnya.Walaupun Pas dan Bersatu mempunyai pengaruh terbesar dalam gabungan itu, Zuhdi melihat Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) berpotensi memainkan peranan penting."Jika Gerakan dan MIPP menyokong satu pihak, maka mereka boleh menentukan parti mana yang kekal menguasai PN," katanya.Dalam masa sama, beliau mengakui Bersatu mempunyai hujah tersendiri untuk mempertahankan kedudukannya memandangkan PN diasaskan hasil inisiatif Tan Sri Muhyiddin Yassin.Menurutnya, faktor sejarah itu mungkin menjadi antara sebab pemimpin Bersatu menuntut jawatan Pengerusi PN dikembalikan kepada Muhyiddin."Antara pengasas utama PN ialah Muhyiddin sendiri. Tidak mustahil Bersatu melihat mereka mempunyai hak moral untuk meneruskan kepimpinan gabungan tersebut," katanya.Nilai jenama PN masih besarMengulas nilai politik PN, Zuhdi berpandangan, gabungan itu masih mempunyai pengaruh besar dalam kalangan pengundi khususnya selepas kejayaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).Menurutnya, jenama PN kini lebih dikenali berbanding mana-mana gabungan baharu yang mungkin diwujudkan selepas ini."PN mempunyai nilai politik yang besar. Antara faktor Pas dan Bersatu memenangi banyak kerusi pada PRU15 adalah kerana rakyat menerima PN sebagai satu jenama politik yang tersendiri."Jika meninggalkan jenama itu dan membentuk gabungan baharu, ia membawa risiko besar," katanya.Beliau turut mengingatkan bahawa tanda-tanda keretakan dalam gabungan politik lazimnya membawa kepada perubahan yang lebih besar.Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Malike Brahim berkata, jika Pas benar-benar mahu bergerak berasingan, parti itu perlu bersikap gentleman dan keluar daripada PN untuk membina wadah baharu."Masalah sekarang ialah kedua-dua pihak tidak mahu keluar daripada PN. Masing-masing menyedari nilai besar jenama PN di mata pengundi Melayu."Kalau Pas mahu bekerjasama dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin atau mana-mana pihak lain, bentuklah platform baharu dengan logo baharu, agenda baharu dan naratif baharu."Kadang-kadang dalam politik, kita perlu menelan kepahitan dan melepaskan perkara yang kita sayangi demi masa depan," katanya.

Go to News Site