Sinar Harian
KANGAR – Pas Perlis akan terus menyokong Bersatu di negeri ini sehingga Perikatan Nasional (PN) membuat sebarang ketetapan susulan keputusan Pas Pusat menamatkan kerjasama politik dengan parti itu di peringkat nasional.Pengerusi PN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pentadbiran kerajaan negeri ketika ini berjalan seperti biasa dan tidak terjejas dengan perkembangan politik yang berlaku.Menurut beliau, kerajaan negeri yang diterajui PN akan terus memberi tumpuan kepada agenda kebajikan rakyat tanpa mengira sebarang perubahan dalam landskap politik semasa."Sebagaimana yang telah kita maklum, Pas telah membuat beberapa keputusan semalam Isnin), antaranya ialah meneroka satu bentuk persefahaman politik demi kerjasama pilihan raya, perpaduan dan penyatuan ummah."Pas juga memaklumkan bahawa kerjasama politik dengan Bersatu dihentikan. Namun di Perlis sekarang, kerajaan adalah di bawah PN yang majoriti kerusinya dimiliki Pas dan Pas menyokong Bersatu di Perlis."Sehingga PN membuat apa-apa keputusan, pentadbiran Perlis berterusan seperti biasa dan keutamaan kita adalah kebajikan rakyat. Rakyat adalah keutamaan kami," katanya ketika mengulas perkembangan politik semasa pada Rabu.Shahidan yang juga Timbalan Pesuruhjaya 3 Pas Perlis berkata, segala usaha membantu rakyat akan diteruskan walaupun berlaku perubahan dalam hubungan politik di peringkat nasional."Walau apa pun politik yang berlaku, usaha membantu rakyat dan menjaga kebajikan rakyat akan diteruskan, insya-Allah," ujarnya.Pada Isnin, Pas Pusat mengumumkan keputusan menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu berkuat kuasa serta-merta selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat mengambil kira laporan, kajian dan penilaian semasa terhadap hubungan kedua-dua parti.Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, mesyuarat tersebut turut memperakukan keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 2 Jun lalu berhubung pertimbangan dasar, hukum dan maslahah mengenai kerjasama politik parti itu berasaskan prinsip penyatuan ummah.Susulan keputusan berkenaan, Pas memaklumkan akan meneroka bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya baharu demi penyatuan ummah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).Pas dan Bersatu merupakan dua komponen utama yang membentuk PN sejak tahun 2020 sebelum disertai Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) pada Februari 2021.
Go to News Site