Sinar Harian
KUALA TERENGGANU - Dua lelaki tempatan direman tujuh hari bermula hari ini sehingga Selasa depan, bagi membantu siasatan kes pukul seorang warga asing dan merosakkan harta benda di sebuah kedai runcit di daerah Marang, semalam.Perintah reman terhadap kedua-dua suspek berusia lingkungan 20-an itu dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin, di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini.Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin dalam kenyataan hari ini berkata, kejadian yang berlaku pada 7.25 malam itu, berpunca daripada salah faham antara mangsa dan beberapa individu tempatan berusia 20-an yang mengakibatkan kecederaan kepada mangsa serta kerosakan harta benda."Tindakan pantas orang awam bersama pihak polis telah berjaya mengawal keadaan. Ekoran daripada kejadian tersebut, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 324/427 Kanun Keseksaan, atas kesalahan mendatangkan cedera menggunakan senjata dan melakukan khianat," katanya.Mohd Khairi berkata pihaknya memandang serius kes tersebut dan memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara telus, adil serta mengikut undang-undang.Sehubungan itu katanya masyarakat dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana boleh menjejaskan siasatan."Pihak polis tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang sengaja melanggar peraturan. Tindakan tegas dan tanpa kompromi berlandaskan peruntukan undang-undang akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang didapati bersalah, demi memastikan keamanan serta ketenteraman awam di negeri ini sentiasa terpelihara," katanya.Terdahulu tular sebuah video di media sosial memaparkan pertengkaran sekumpulan lelaki dengan warga asing di sebuah kedai runcit, sehingga menyebabkan barangan di kedai tersebut rosak dan berselerakan. - Bernama
Go to News Site