Collector
Giriş Yap
Sabah jadi sasaran sindiket scammer, 341 individu ditahan | Collector
Sabah jadi sasaran sindiket scammer, 341 individu ditahan

Sabah jadi sasaran sindiket scammer, 341 individu ditahan

KOTA KINABALU – Polis Sabah berjaya menahan seramai 341 individu yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penipuan dalam talian atau 'scammer' menerusi pelbagai serbuan di lima daerah termasuk Labuan.Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sabah melaksanakan Op Pelican bermula Januari sehingga Isnin lalu yang membawa kepada rampasan keseluruhan bernilai RM1.1 juta."Dalam tempoh berkenaan, pihak JSJK Sabah telah melancarkan sebanyak 12 serbuan ke atas pusat panggilan ('calling centre'), melibatkan empat di Kota Kinabalu, tiga di Labuan, tiga di Tawau, satu di Sandakan dan satu di Penampang dengan menggunakan banglo persendirian atau tempat penginapan serta peranginan sebagai pusat menjalankan aktiviti tersebut."Modus operandi mereka adalah melakukan aktiviti pelaburan tidak wujud, pinjaman tidak wujud, ‘love scam’, menyamar sebagai penguat kuasa dan perjudian."Dalam 12 serbuan ini, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah telah membuat tangkapan seramai 341 individu berusia antara 17 hingga 60 tahun melibatkan warga China (303 orang), warga tempatan (27 orang), Vietnam (sembilan orang) serta Taiwan dan Laos masing-masing seorang," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, pada Rabu.Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan menyasarkan beberapa negara lain dan Malaysia sendiri."Kita mendapati bahawa sasaran sindiket ini adalah beberapa negara asing iaitu Korea Selatan, Taiwan, Amerika Syarikat, Jepun, Brazil, Hong Kong, Thailand dan Malaysia sendiri."Jadi, ini menunjukkan bahawa terdapat usaha daripada pihak tertentu untuk cuba menjadikan Sabah sebagai pusat panggilan ('calling centre') bagi melakukan aktiviti jenayah, terutamanya aktiviti penipuan," katanya.Ditanya sejak bila sindiket tersebut beroperasi di Sabah, beliau memaklumkan hasil siasatan terhadap suspek yang ditangkap mendapati kebanyakan mereka menjalankan kegiatan itu kira-kira dua hingga tiga bulan sebelum diserbu."Kebanyakan mereka datang ke Malaysia menggunakan pas pelancong dan sebab itu apabila kita membuat tangkapan, kita juga menggunakan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen."Memandangkan keadaan sekarang yang kita mendapati bahawa sebahagian daripada pelancong ini mengambil kesempatan atas visa yang diberikan, maka kerjasama telah dimulakan dengan pihak Imigresen untuk memastikan warga asing yang datang akan pulang mengikut tempoh yang ditetapkan," katanya.Beliau berkata, kegiatan itu bukan sahaja melibatkan penipuan rentas sempadan malah turut menjejaskan imej negara di peringkat antarabangsa."Menerusi 12 serbuan ini, kita berjaya membuat rampasan peralatan dan wang tunai dianggarkan bernilai RM1.1 juta."Jadi, kita percaya bahawa sindiket ini telah mengaut hasil penipuan mereka melalui kemasukan wang ke dalam bank, sama ada bank tempatan ataupun bank antarabangsa. Oleh itu, pihak JSJK sedang bekerjasama dengan beberapa pihak berkaitan untuk mengesan akaun yang terlibat dalam aktiviti pusat panggilan ('calling centre') ini," katanya.Jauteh berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan berkaitan aktiviti penipuan serta niat bersama melakukan perbuatan jenayah.

Go to News Site