Sinar Harian
SHAH ALAM – Batalion Anak Muda (BAM) dan Gerakan Guaman Rakyat (GEGAR) mengemukakan enam cadangan kepada Kabinet bagi memperkukuhkan pengurusan isu pelarian di negara ini yang didakwa masih berdepan pelbagai kelemahan dari segi kawalan, pemantauan dan penempatan semula.Menerusi satu kenyataan bersama, BAM dan GEGAR berkata, cadangan pertama ialah kerajaan perlu melaksanakan perintah kawalan pergerakan yang mengikat disebabkan ketika ini pelarian bergerak bebas di seluruh negara tanpa sistem pemantauan yang berkesan dan tanpa rekod pergerakan yang dikemas kini."Kerajaan hendaklah dengan segera mewujudkan mekanisme kawalan pergerakan yang komprehensif. Pelarian berdaftar wajib mematuhi had kawasan yang ditetapkan dan melaporkan diri secara berkala kepada pihak berkuasa."Ini bukan pendekatan pemenjaraan, ini adalah standard tadbir urus yang diamalkan oleh banyak negara dalam mengurus populasi pelarian demi keselamatan semua pihak," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.Menurutnya, cadangan kedua ialah mewujudkan pusat penempatan semula pelarian yang berpusat dan terkawal namun ia juga bukanlah penjara.Katanya, pusat penempatan pelarian itu perlu berfungsi sebagai kemudahan pengurusan keselamatan nasional dengan menyediakan tempat tinggal yang teratur, perkhidmatan asas yang mencukupi dan pemantauan penuh oleh pihak berkuasa."Pusat ini berbeza daripada pusat tahanan, ia bertujuan untuk menguruskan populasi pelarian secara manusiawi dan sistematik, mengurangkan tekanan ke atas komuniti setempat dan membolehkan pemprosesan penempatan semula ke negara ketiga dilakukan dengan lebih cekap."Ketiga, tetapkan garis masa penempatan semula yang konkrit dan mengikat. Kerajaan hendaklah berunding dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk menetapkan tempoh maksimum."BAM dan GEGAR mencadangkan tidak melebihi tiga tahun, sebelum penempatan semula ke negara ketiga yang menandatangani Konvensyen Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1951 dan Protokolnya 1967. Garis masa yang jelas adalah wajar dan boleh dilaksanakan," ujarnya.Seterusnya, BAM dan GEGAR mengesyorkan supaya kerajaan mempercepat dan memperkukuhkan Sistem Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) dengan memastikan semua individu tanpa dokumen sah didaftarkan segera kerana sistem yang mengetahui siapa yang berada dalam negara ini adalah asas kepada tadbir urus yang baik."Kelima, perkukuhkan penguatkuasaan terhadap pengambilan pekerja haram. Tumpukan tindakan penguatkuasaan kepada majikan yang mengeksploitasi pekerja tanpa dokumen ini dalam menangani punca ketidakseimbangan pasaran buruh secara lebih berkesan dan adil."Keenam,memperkukuhkan kerjasama dengan UNHCR. Akses UNHCR ke pusat penempatan pelarian penting dari sudut praktikal, kehadiran UNHCR mempercepatkan pengesahan status dan proses penempatan semula ke negara ketiga," katanya.BAM dan GEGAR menegaskan, mereka tampil bersama bagi menyuarakan kebimbangan rakyat Malaysia yang sah dan wajar terhadap pengurusan isu pelarian di negara ini apatah lagi petisyen berkait isu itu yang telah mengumpulkan sokongan ratusan ribu rakyat Malaysia mencerminkan kehendak demokratik yang tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana pihak berkuasa.Katanya, rakyat Malaysia yang bersuara hari ini bukan didorong oleh kebencian, mereka didorong oleh kebimbangan yang sah terhadap keselamatan awam, keseimbangan pasaran buruh dan keupayaan institusi negara untuk mengurus cabaran itu secara sistematik serta bertanggungjawab."BAM dan GEGAR bersetuju bahawa dasar awam yang baik hendaklah berasaskan data, logik dan kepentingan negara, bukan emosi semata-mata. Justeru itulah kami mengemukakan cadangan konkrit yang boleh diukur dan dilaksanakan ini."Sokongan rakyat yang meluas terhadap isu ini adalah petunjuk jelas bahawa rakyat Malaysia menginginkan penyelesaian yang nyata. Kerajaan Madani mempunyai mandat dan tanggungjawab untuk menjawab amanah ini dengan tindakan, bukan sekadar kenyataan," tambah mereka.Susulan itu, BAM dan GEGAR turut menuntut agar laporan Kabinet memuatkan mengenai perintah kawalan pergerakan yang mengikat, penubuhan pusat penempatan pelarian yang berpusat dan terkawal serta garis masa penempatan semula yang konkrit, boleh diukur dan terbuka untuk semakan awam.Sebelum ini, media melaporkan, petisyen penghantaran pulang pelarian etnik Rohingya dari Malaysia atau penempatan semula mereka di negara ketiga meraih lebih 195,000 tandatangan, setakat Khamis lalu.Petisyen yang dilancarkan akaun Aku Anak Malaysia pada 29 Mei lalu itu turut menyasarkan sejuta sokongan, selain menuntut pihak berkuasa mencari penyelesaian alternatif bagi menangani kebanjiran pelarian etnik berkenaan.
Go to News Site