Sinar Harian
PUTRAJAYA - Proses agihan kerusi Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan berjalan lancar tanpa sebarang pertindihan antara parti komponen.Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, walaupun terdapat perbincangan awal berhubung calon di beberapa kawasan, semangat musyawarah yang menjadi amalan gabungan politik itu memastikan keputusan akhir dicapai secara bersama."Pada dasarnya, kita tidak mendapati sebarang masalah untuk proses agihan itu dilakukan kerana perbincangan-perbincangan awal telah pun diadakan cuma di peringkat ini, kita hanya perlu memperkukuh lagi dari segi mungkin calonnya."Dari segi letak pembahagian kerusi antara komponen, kita pada dasarnya tidak ada masalah yang besar," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Syarahan Umum oleh Pengarah Centre on Contemporary China and the World di Universiti Hong Kong Profesor Li Cheng di sini pada Rabu.Beliau berkata, pemilihan calon bagi PRN kali ini diserahkan kepada Pengerusi Perhubungan BN negeri untuk mencadangkan nama individu yang layak bertanding."Kita memberikan kuasa itu kepada pihak Pengerusi Perhubungan BN negeri untuk bekerjasama dengan kita untuk mencadangkan calon-calon kerana mereka lebih mengetahui, dan dibincangkan di peringkat Dewan Tertinggi Barisan Nasional yang akan memberikan kelulusan itu."Walaupun di peringkat awal mungkin ada calon ini nak tempat itu, calon itu nak tempat ini tetapi akhirnya atas semangat BN, (kita) akan duduk dan membuat keputusan bersama untuk meletakkan calon-calon pada kerusi yang telah dipersetujui," katanya.Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan mesyuarat khas bagi urusan Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (DUN) Johor dan Negeri Sembilan pada Jumaat ini bagi membincangkan segala urusan berkaitan PRN.DUN Negeri Sembilan, yang mempunyai 36 kerusi, dibubarkan pada Jumaat lepas manakala Johor yang memiliki 56 kerusi pula dibubarkan pada 1 Jun lepas. - Bernama
Go to News Site