Sinar Harian
TOKYO - Malaysia dan Jepun bersetuju memperkukuh kerjasama dalam bidang tenaga, industri strategik dan daya tahan rantaian bekalan semasa rundingan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawatnya dari Jepun, Sanae Takaichi.Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, isu-isu lain dibincangkan termasuk keselamatan pertahanan dan maritim, industri strategik, peralihan tenaga, kerjasama kewangan, pembangunan modal insan serta isu-isu serantau dan antarabangsa.Mengenai kerjasama tenaga, beliau berkata, Malaysia dan Jepun telah memuktamadkan perjanjian jual beli gas asli cecair (LNG) jangka panjang antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan JERA Co Inc dari Jepun untuk bekalan dua juta tan setahun untuk tempoh 20 tahun bermula pada 2028."Ini merupakan satu pencapaian luar biasa dan kejayaan dari segi kepercayaan serta kerjasama antara kedua-dua negara sahabat yang hebat ini," katanya dalam sidang media bersama selepas mesyuarat dua hala hari ini, menandakan lawatan rasmi pertama beliau ke Jepun sejak memegang jawatan.Mengenai pertahanan dan keselamatan maritim, Anwar berkata, Malaysia sebagai sebuah negara maritim akan terus memperkukuh kerjasama dengan Jepun di bawah rangka kerja Bantuan Keselamatan Rasmi (OSA).Beliau berkata, usaha berkenaan akan diteruskan tahun ini untuk memuktamadkan Memorandum Kerjasama mengenai keselamatan dan sekuriti maritim yang akan disokong oleh Malaysia.Anwar berkata, kedua-dua negara juga membincangkan kerjasama dalam kecerdasan buatan, semikonduktor, teknologi digital, mineral kritikal dan rantaian bekalan yang berdaya tahan.Beliau berkata, Malaysia mengikuti inisiatif POWERR Asia (Partnership on Wide Energy and Resources Resilience Asia) di bawah kepimpinan Takaichi.Mengenai kerjasama kewangan, beliau berkata, kedua-dua negara telah memperluaskan pengaturan pertukaran mata wang dua hala untuk memudahkan urus niaga dalam ringgit dan yen.Menurut Anwar, Malaysia dan Jepun telah bersetuju untuk melanjutkan empat Memorandum Kerjasama yang meliputi keselamatan dan sekuriti maritim, alam sekitar dan kemampanan, pengurusan sisa pepejal dan rangka kerja kawal selia peranti perubatan.Kedua-dua negara juga bersetuju dengan dua Surat Hasrat merangkumi keselamatan tenaga dan peralihan tenaga serta pertukaran akademik antara Universiti of Tokyo dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). - Bernama
Go to News Site