Sinar Harian
KUALA LUMPUR – Aktiviti promosi perjudian menerusi akaun media sosial serta platform dan laman sesawang yang menawarkan pertaruhan haram antara fokus utama Op Soga XI yang dilaksanakan secara bersepadu di seluruh negara sempena Piala Dunia FIFA 2026 yang berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai ini.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, operasi yang digerakkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi JSJ Bukit Aman itu turut memberi tumpuan kepada sindiket perjudian dan pertaruhan dalam talian yang mengambil kesempatan daripada kejohanan sukan berprestij tersebut.Menurutnya, operasi berkenaan dilaksanakan secara agresif dan menyeluruh dengan penglibatan semua kontinjen polis negeri bagi membanteras kegiatan perjudian tanpa lesen."Tumpuan operasi terarah kepada aktiviti perjudian dan pertaruhan secara dalam talian termasuk sindiket perjudian, platform atau laman sesawang yang menjalankan aktiviti tersebut serta promosi menerusi akaun media sosial."Selain itu, operasi turut memberi fokus kepada aktiviti perjudian dan pertaruhan secara fizikal melibatkan premis perjudian haram, individu yang bertaruh, ejen pertaruhan serta pihak yang mempromosikan kegiatan berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Beliau berkata, Op Soga XI dilaksanakan bagi memastikan sebarang aktiviti perjudian tanpa lesen dapat dibanteras secara menyeluruh sepanjang berlangsungnya kejohanan sukan antarabangsa itu.Menurutnya, operasi berkenaan turut memperkukuh kerjasama strategik dengan pelbagai agensi penguat kuasa dan kawal selia termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Bank Negara Malaysia (BNM).Katanya, kerjasama tersebut bertujuan mengenal pasti dan menyekat platform, laman sesawang serta transaksi yang digunakan sindiket perjudian dan pertaruhan haram."Orang ramai dinasihatkan agar tidak terlibat dalam sebarang bentuk perjudian dan pertaruhan haram sama ada sebagai pemain, ejen, pengutip pertaruhan mahupun penganjur."Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang berkaitan termasuk Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, Akta Pertaruhan 1953, Kanun Keseksaan serta Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001," katanya.M Kumar berkata, PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan perjudian tanpa lesen.Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras kegiatan tersebut secara menyeluruh.
Go to News Site